Rayuan Lokman ketepi prosiding komital didengar 13 Mei

Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam berdepan prosiding komital yang difailkan bekas peguam negara Tommy Thomas kerana didakwa mengugut saksi dalam kes 1MDB.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 13 Mei ini untuk mendengar rayuan ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh bekas peguam negara Tommy Thomas bagi memulakan prosiding komital terhadapnya kerana didakwa mengugut seorang saksi dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jabatan Peguam Negara menerima surat daripada mahkamah bertarikh 2 April yang memaklumkan bahawa tarikh pendengaran dijadualkan semula kepada 13 Mei.

Mahkamah Rayuan sebelum ini menetapkan 31 Mac untuk mendengar rayuan Lokman.

Pada 14 Jan tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Lokman untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh Thomas bagi memulakan prosiding komital terhadapnya kerana didakwa mengugut seorang saksi dalam kes 1MDB yang membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Pada 22 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi memberikan kebenaran kepada peguam negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman kerana menghina mahkamah dengan melakukan perbuatan itu sebanyak 2 kali pada 25 Sept, 2019.

Dalam permohonan itu, Thomas meminta mahkamah memenjarakan atau mendenda Lokman kerana melakukan perbuatan itu.

Mac lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan Lokman menangguhkan sementara prosiding komitalnya di mahkamah itu sementara menunggu rayuan diputuskan oleh mahkamah berkenaan.