Sabah arah JKR baiki pusat kuarantin ‘uzur’

Sebanyak 28 pusat kuarantin diwujudkan di Sabah bertujuan mengasingkan individu berisiko dijangkiti Covid-19 atau menjangkiti individu lain dalam usaha membendung penularan wabak itu. (Gambar Fail)

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah untuk membaiki dan menggantikan kerosakan kemudahan asas yang terdapat di setiap pusat kuarantin di negeri ini, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Safar Untong.

“Mana-mana pusat kuarantin di Sabah yang dilihat memerlukan pembaikan, kita akan baiki menggunakan peruntukan kerajaan negeri meskipun bangunan (pusat kuarantin) itu adalah bangunan (kerajaan) persekutuan.

“Saya yakin mereka (JKR) ketika ini sedang dalam proses untuk membaiki (kerosakan kemudahan asas di pusat kuarantin),” katanya kepada pemberita sini, hari ini.

Baru-baru ini, sebuah video tular di media sosial yang memaparkan keadaan kemudahan asas sebuah pusat kuarantin di Sabah yang kurang memuaskan.

Sebanyak 28 pusat kuarantin diwujudkan di Sabah bertujuan mengasingkan individu berisiko dijangkiti Covid-19 atau menjangkiti individu lain dalam usaha membendung penularan wabak itu.

Mengulas pusat kuarantin di hotel 3 bintang, Safar berkata, Sabah ketika ini menggunakan 2 hotel untuk menempatkan mana-mana individu yang baru pulang dari luar negara dan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

“Bagaimanapun, kos adalah ditanggung sendiri oleh individu terbabit,” katanya, dan menjelaskan pusat kuarantin kerajaan adalah percuma, selain turut menyediakan makanan untuk individu terlibat.