Suhakam cadang individu direman kerana ingkar PKP dibebas sementara

Suhakam berkata, keutamaan untuk dibebaskan perlu diberikan individu bawah umur, wanita, orang kurang upaya, warga emas dan mereka yang mempunyai sakit kronik atau di bawah rawatan kesihatan.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) menyuarakan kebimbangannya terhadap tatacara tangkapan dan penahanan individu didakwa melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana tidak mengamalkan penjarakan sosial dan mengambil langkah keselamatan bagi mencegah jangkitan Covid-19..

Suhakam dalam kenyataan berkata, bagi membendung perkara itu, ia sudah berhubung dengan agensi penguat kuasa dan berharap beberapa langkah mitigasi dapat dipertimbangkan untuk dilaksanakan dalam masa terdekat, sejajar dengan usaha penambahbaikan pelaksanaan tugasan.

“Bagi mereka yang menjalani prosiding reman dan pendakwaan, pesalah yang didakwa kerana mengingkari PKP, bawah umur dan melibatkan berita tidak benar perlulah dibebaskan dengan jaminan polis dan didakwa pada masa akan datang.

“Sekiranya pesalah yang didakwa tidak mampu membayar ikat jamin, alternatif kepada ikat jamin secara tunai boleh merangkumi bon atau ikat jamin bukan wang tunai perlu dilaksanakan.

“Manakala alternatif kepada sabitan dan denda boleh merangkumi perintah khidmat masyarakat,” katanya, hari ini.

Menurut suruhanjaya itu, bagi individu yang menjalani prosiding reman dan pendakwaan, keutamaan untuk dibebaskan perlulah diberikan kepada mereka yang di bawah umur, wanita, orang kurang upaya, warga emas dan mereka yang mempunyai sakit kronik atau di bawah rawatan kesihatan.

“Peluang sama boleh diberikan kepada mereka yang didakwa di bawah kesalahan kecil atau kesalahan berkaitan keadaan sosio-ekonomi (kemiskinan) seperti mencuri,” katanya.

Manakala itu, bagi 30% banduan yang ketika ini dipenjara dan berada dalam status menunggu perbicaraan atau belum disabitkan kesalahan, perlulah diberikan pertimbangan untuk dibebaskan di bawah arahan pentadbiran khas.

“Ini termasuk banduan reman bawah umur, kesalahan tidak melibatkan keganasan atau penagih dadah yang tidak berisiko kepada keselamatan awam dan banduan yang berpenyakit kronik, banduan reman atas kesalahan sosio ekonomi.

“Selain itu, banduan warga emas dengan masalah kesihatan, termasuk kesihatan mental diberikan pertimbangan untuk dibebaskan,” katanya.

Pada minggu ketiga PKP dilaksanakan, sebanyak 4,189 tangkapan dibuat dan 1,449 pendakwaan dilaksanakan atas kesalahan berkait PKP.

Menurut Suhakam, berdasarkan pemerhatian semasa lawatan dan pemantauan yang dijalankan badan itu mendapati kebanyakan lokap polis kecil, dalam keadaan uzur, kurang pengudaraan dan pencahayaan semula jadi.

“Ketiadaan langkah pencegahan sebaiknya dan jumlah pesalah-pesalah yang didakwa kerana ingkar arahan PKP agak tinggi boleh meningkatkan risiko kesihatan terhadap tahanan, polis dan petugas barisan hadapan yang terlibat dalam proses tangkapan dan penahanan,” katanya.