Tempoh pelepasan kargo bukan keperluan asas dilanjut hingga 7 April, kata Wee

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, langkah pelepasan kargo terbukti berkesan dalam mengurangkan kesesakan di pelabuhan utama negara yang mencecah ruang kapasiti hampir 100%.

PUTRAJAYA: Syarikat yang menyimpan kargo barangan bukan keperluan asas di pelabuhan utama negara digesa memindah keluar barangan berkenaan mulai esok sehingga Selasa depan, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata, susulan rundingan dengan Majlis Keselamatan Negara, kementerian bersetuju melanjutkan proses pelepasan kargo itu selama 4 hari lagi bagi mengelak kesesakan di pelabuhan utama negara.

Pelabuhan tersebut ialah Pelabuhan Klang di Selangor serta pelabuhan utama di Johor, Pulau Pinang, Kuantan di Pahang, Melaka, Bintulu di Sarawak dan Padang Besar, Perlis yang bersempadan dengan Thailand, katanya.

“Sepertimana keputusan terdahulu pada 26 Mac 2020, usaha ini (pelepasan kargo) terbukti berkesan dari segi mengurangkan kesesakan di pelabuhan utama negara yang telah mencecah ruang kapasiti hampir 100%,” katanya.

Menurut Wee, demi kelancaran pergerakan itu, kerja-kerja pelepasan barangan bukan keperluan asas di pelabuhan utama negara perlu dipercepatkan dan perkembangannya akan dipantau dari semasa ke semasa.

Ini juga memastikan pembekalan barangan keperluan asas kepada rakyat tidak terbantut sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa kedua yang dikuatkuasakan pada 1-14 April 2020.

“Melihatkan respons positif terhadap keputusan kementerian, pelabuhan milik kerajaan negeri di Sabah dan Sarawak juga membuat tindakan sama dengan membenarkan pelepasan barangan di pelabuhan mereka, sekali gus mengurangkan kesesakan.

“Kementerian Pengangkutan pun berkongsi prosedur operasi standard (SOP) kepada pengendali pelabuhan yang memohon sebelum ini, termasuk (dari) negara lain,” katanya.

Langkah pelepasan barangan itu selari dengan peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 2) 2020 yang berkuatkuasa sepanjang tempoh PKP fasa kedua.

Beliau berkata, perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan, lapangan terbang serta pengangkutan melalui darat, air atau udara adalah perkhidmatan perlu selaras dengan pindaan Jadual Peraturan-peraturan No. 2 berkaitan.

Sebarang aduan atau pertanyaan boleh disalurkan menerusi emel [email protected] atau WhatsApp 019-2907723, laman web khusus di pautan http://cccovid19.mot.gov.my/ selain talian hotline kementerian di 1800-88-7723 (8 pagi-8 malam) atau menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara MKN di nombor 03-88882010.