Terengganu nafi berita tular 30 kes jangkitan Covid-19 dari majlis tahlil

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Nor Azimi Yunus berkata, sehingga hari ini, tiada kes Covid-19 yang dikesan berlaku di Kampung Durian Burung di Kuala Terengganu dan berharap orang ramai segera berhenti menyebarkannya.

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menafikan satu kenyataan yang tular di aplikasi WhatsApp kononnya terdapat 30 kes jangkitan Covid-19 di Kampung Durian Burung, di sini yang didakwa berpunca daripada satu majlis tahlil.

Dr Nor Azimi Yunus

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Nor Azimi Yunus dalam satu kenyataan malam ini berkata, sehingga hari ini, tiada kes Covid-19 yang dikesan berlaku di kampung tersebut dan berharap orang ramai segera berhenti menyebarkannya.

“Sehubungan itu, pihak kami menasihatkan orang ramai supaya merujuk kepada sumber maklumat sahih yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tidak menularkan sebarang berita tidak benar yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Orang ramai juga diminta supaya mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sedang berjalan di samping mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, kerap mencuci tangan, etika batuk yang betul dan penjarakan sosial bagi mengawal penularan Covid-19,” katanya.

Dalam mesej yang tular itu, kononnya 30 ahli keluarga terdekat kepada seorang pesakit Covid-19 perlu dikuarantin di Chendering di sini dan KKM akan mencari penduduk kampung yang menghadiri majlis tahlil tersebut.