Menteri: Tiada bazar Ramadan jika PKP dilanjut

Jika PKP ditamatkan sebelum atau sewaktu bulan Ramadan, operasi bazar akan bergantung pada SOP yang bakal disediakan oleh kerajaan.

PUTRAJAYA: Aktiviti bazar Ramadan tidak akan dibenarkan seluruh negara selagi tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) berjalan, kata Menteri Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

Ismail bagaimanapun memaklumkan, jika PKP ditamatkan sebelum bulan Ramadan, aktiviti perniagaan mungkin boleh dijalankan dengan prosedur operasi standard (SOP) baru yang akan ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Mesyuarat hari ini memutuskan bahawa bazar Ramadan tidak akan dibenarkan selagi PKP dilaksanakan

“Bagaimanapun, jika PKP ditamatkan sebelum atau sewaktu bulan Ramadan, operasi bazar akan bergantung kepada SOP pasca PKP yang akan disediakan oleh MKN.

Ismail Sabri Yaakob

“Isu bazar akan ditentukan selepas ini sama ada boleh dilaksanakan atau dilaksanakan dengan SOP tertentu,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat harian khas menteri dalam mendepani wabak Covid-19 di Perdana Putra di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ismail turut memaklumkan seramai 524 individu ditahan kerana melanggar PKP semalam.

“Penurunan sebanyak 6.8% berbanding penahanan dibuat pada 1 April berjumlah 562 individu,” katanya.

Mengulas nasib pelajar Malaysia yang terkandas di luar negara selepas tamat pengajian berikutan sekatan perjalanan, Ismail berkata mereka akan ditempatkan dan diberi makanan dengan tanggungan pihak penaja sehingga keadaan pulih.

“Mara, Kementerian Pengajian Tinggi dan Petronas yang menaja pelajar akan membantu mereka yang telah tamat pengajian dan masih belum pulang ke tanah air akan diberi bantuan ihsan.

“Bantuan ini merangkumi sewa tempat tinggal dan makanan. Bantuan akan dihulurkan sehingga ke satu masa yang akan ditetapkan oleh oleh penaja masing-masing.

“Jadi ibu bapa tidak perlu khuatir dengan kebajikan anak-anak mereka,”katanya.