Wanita panggil polis ‘idiot’ ketika sekatan jalan raya didakwa

Polis mengadakan sekatan jalan raya sepanjang PKP bagi memastikan orang ramai mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

PETALING JAYA: Seorang wanita berusia 43 tahun didakwa di Mahkamah Majistret hari ini, kerana memarahi pegawai polis yang bertugas di sekatan jalan raya di Kota Damansara pada Selasa.

Tong Poh Kim didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana tidak menghormati anggota polis, Izuan Hashim Nor Hamzah dengan memanggilnya “idiot”.

Jika didapati bersalah, tertuduh berdepan denda maksimum RM100.

Tong, yang bekerja sebagai pengurus jualan, turut dikenakan pertuduhan lain di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang Izuan daripada menjalankan tanggungjawab rasminya.

Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara 2 tahun, denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Majistret Nurshahirah Abdul Salim membenarkan Tong diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan. Beliau menetapkan 14 Mei untuk sebutan kes.

Tong ditahan pada 31 Mac selepas menjerit “You all are idiot” kepada pegawai yang membuat sekatan jalan raya di Jalan Persiaran Surian sebagai sebahagian daripada penguatkuasaan perintah kawalan.

Polis berkata dia cuba menimbulkan provokasi terhadap pegawai di lokasi kejadian.