46 kes berita palsu sedang disiasat, kata menteri

SKMM kini menyiasat 46 kes berita palsu berkaitan Covid-19 dan 2 berita mempunyai elemen jelek.

KUANTAN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka 48 kertas siasatan berkaitan Covid-19, iaitu 46 kes melibatkan berita palsu, manakala bakinya melibatkan elemen jelek.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata, daripada jumlah itu, kes paling banyak direkodkan di platform laman sosial Facebook, iaitu sebanyak 37 kes diikuti Twitter (7 kes), WhatsApp (3 kes) dan 1 di laman web.

“Kita juga mempunyai 24 kes dalam siasatan aktif, iaitu di peringkat pemantauan, mengenal pasti suspek dan analisis forensik. Selain itu, SKMM telah mendakwa 6 individu di mahkamah, manakala 5 lagi dikeluarkan notis amaran.

“Ini bukan angka yang baik kerana kita sedang menangani isu Covid-19. Setiap hari, pasukan respons pantas kementerian juga perlu menafikan 5 atau 6 berita tidak sahih yang tular di laman sosial,” katanya.

Selain itu, Saifuddin berkata, beliau telah memaklumkan kepada Kementerian Kewangan supaya petugas media di bawah kementerian komunikasi disenaraikan sebagai petugas barisan hadapan kerana mereka juga “turun ke bawah dan terdedah kepada risiko” seperti yang dialami pihak kesihatan dan keselamatan dalam melaksanakan tugas.

Mengulas mengenai bantuan Covid-19 di Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin selaku ahli Parlimennya berkata, pengagihan sumbangan dibuat sejak awal pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) melibatkan pemberian pek makanan kepada pelajar universiti dan petugas barisan hadapan.

Beliau juga berkata, semua 13 syarikat telekomunikasi (telco) di negara ini sedang berusaha menambah baik capaian internet di kawasan perumahan yang dilaporkan perlahan dalam tempoh PKP.

Saifuddin berkata masalah itu berlaku kerana penggunaan internet di kawasan perumahan meningkat secara mendadak ekoran orang ramai tidak boleh keluar selain ada yang bekerja dari rumah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau hab simpanan barang sumbangan Covid-19 bagi Parlimen Indera Mahkota di sini hari ini, yang turut dihadiri Adun Beserah Andansura Rabu.