Degilnya… Ketua polis daerah di Indonesia anjur majlis perkahwinan dipecat

Penduduk di Indonesia turut menjalani saringan Covid-19 dengan memeriksa suhu badan. (Gambar AP)

Seperti diketahui umum, sebarang aktiviti kemasyarakatan atau perhimpunan beramai-ramai ditegah sama sekali di Indonesia bagi mengekang penularan Covid-19.

Namun ada juga yang masih berdegil dengan menganjurkan majlis kenduri serta keramaian.

Itulah yang dilakukan Ketua Polis Daerah Kembangan, Pesuruhjaya Polis, Fahrul Sudiana menganjurkan majlis perkahwinan pada 21 Mac lalu.

Majlis itu berlangsung 2 hari selepas ketetapan Kepala Kepolisian Negara Republik Indonesia (Kapolri) diumumkan.

Ketetapan itu bukan sahaja melarang perhimpunan beramai-ramai, malah aktiviti seperti majlis kahwin juga tidak dibenarkan sama-sekali.

Kedegilan itu ternyata membawa padah apabila Fahrul Sudiana dipecat daripada jawatannya seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.

Kata Pegawai Perhubungan Awam Polis Metro Jaya, Yusri Yunus, perbuatan itu merupakan satu pelanggaran disiplin.

“Jadi jika seseorang tidak taat, maka siapa pun mesti bersedia dengan semua akibatnya,” katanya.

Selepas dikenakan tindakan pemecatan, Fahrul Sudiana kini dipindahkan ke cawangan polis daerah Metro Jaya sebagai penganalisis.

Pada 21 Mac lalu dia melangsungkan majlis kahwin di sebuah hotel mewah.

Ia kemudiannya menjadi tular selepas foto-foto sekitar majlis dikongsi di internet dan mengundang kecaman ramai kerana berlangsung sewaktu Covid-19 sedang teruk melanda.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]