
Pengarahnya Baharuddin Tahir berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk menerima kepulangan rakyat Malaysia yang berada di republik berkenaan dan sehingga kini semua pintu masuk beroperasi seperti biasa.
“Jangkaan kami (Jabatan Imigresen Johor) akan berlaku kemasukan lebih banyak rakyat Malaysia mulai 1 April hingga 14 April ini (Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua) berbanding tempoh 18 Mac hingga 31 Mac lalu (PKP fasa pertama).
“Ini disebabkan oleh beberapa kekangan seperti perintah atau larangan yang lebih ketat di Singapura, khususnya bagi rakyat Malaysia yang bekerja di sana,” katanya yang dihubungi hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengumumkan bahawa negara itu memutuskan untuk melaksanakan langkah berjaga-jaga yang lebih ketat selama sebulan bagi membendung penularan Covid-19 yang kian meningkat di republik itu.
Menurut Lee, Singapura akan menutup sebahagian besar tempat kerja, sekolah dan prasekolah selama sebulan mulai Selasa ini (7 April), tetapi perkhidmatan penting seperti pasar dan pasar raya, tempat makan dan pengangkutan awam akan terus dibuka.
Tinjauan di sekitar kawasan berdekatan Tambak Johor, di sini, mendapati sebilangan kecil rakyat Malaysia mula pulang ke bandar raya ini dengan berjalan kaki dari Pusat Pemeriksaan Woodlands, Singapura ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini.
Pelajar jurusan pemasaran digital di sebuah kolej di Wilkie Road, Singapura, Hubert Teo Jun Wei, 19, berkata beliau mengambil keputusan untuk pulang selaras keputusan kerajaan Singapura, semalam, dan akan melakukan kuarantin sendiri di rumah.
“Lebih baik saya pulang ke rumah segera, saya bukan takut, tetapi harus berhati-hati. Dalam masa sama, saya akan mengambil tahu perkembangan semasa dari rumah sahaja,” katanya yang tinggal di Taman Megah Ria dekat Masai, di sini.
Seorang rakyat Malaysia yang bekerja sebuah restoran di Tampines, Singapura, Syafika Mohamad, 25, berkata, beliau akan berbincang dengan pihak majikan hari ini sebelum membuat sebarang keputusan sama ada mahu kembali ke negara ini atau sebaliknya.
“Walaupun restoran saya bekerja tidak ditutup kerana merupakan perkhidmatan penting, tetapi kami semua (pekerja) akan berbincang dengan majikan hari ini berhubung perkara ini,” katanya yang bekerja di restoran berkenaan sejak 3 bulan lepas.