Kementerian nafi kesahihan tips bunuh virus Covid-19

Jumlah mangsa Covid-19 mencecah 3,333 orang sehingga kini.

PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia menafikan kesahihah beberapa laporan berkaitan Covid-19, termasuk beberapa tips kesihatan untuk membunuh virus Covid-19.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata tips memakan vitamin dan makanan tertentu, makanan beralkali dan minuman serta berjemur di bawah matahari dapat kalahkan Covid-19 adalah tidak benar.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai seorang bekas pesakit Covid-19 yang telah sembuh berkongsi tips berkenaan dengan orang ramai.

Ia juga berkata Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) MKN menafikan kesahihan satu aplikasi mudah alih dikenali sebagai “Perdana Menteri Malaysia” yang didakwa memberi maklumat bantuan Covid-19 kerana ia mempunyai kod hasad (malware).

Selain itu, ia menafikan dakwaan “orang dalam” atau “bos imigresen” memberi pelepasan khas kepada seorang penumpang syarikat penerbangan tempatan melalui Lapangan Terbang Tawau untuk pulang ke Semenanjung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Sehingga kini 3 kematian berkait Covid-19 dilaporkan, menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban akibat wabak berkenaan seramai 53 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah juga memaklumkan sebanyak 217 jangkitan baru dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah mangsa 3,333 orang sehingga kini.