Kementerian Pembangunan Wanita nafi kes keganasan rumah tangga meningkat semasa PKP

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, ia memandang serius terhadap semua panggilan yang diterima, termasuk isu keganasan rumah tangga dan penderaan, terutama ketika tempoh PKP.

PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan dakwaan bahawa jumlah panggilan mengenai kes keganasan rumah tangga meningkat 57% ketika tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

KPWKM berkata, peningkatan jumlah peratusan panggilan yang diterimanya merangkumi semua kategori, termasuk panggilan berhubung wabak Covid-19, rujukan kes bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kes kaunseling dan lain-lain.

“KPWKM memandang serius terhadap semua panggilan yang diterima, termasuk isu keganasan rumah tangga dan penderaan, terutama ketika tempoh PKP ini.

“Tindakan segera terus diambil oleh pihak JKM mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 pindaan 2017 dan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya.

Semalam, sebuah portal media tempatan melaporkan kes keganasan rumah tangga di kebanyakan negara meningkat dalam tempoh PKP dilaksanakan.

Laporan itu turut memetik data panggilan Talian Kasih bertambah sebanyak 57% sejak PKP dikuatkuasakan bermula 18 Mac lepas.

Dalam pada itu, KPWKM memohon kerjasama semua pihak supaya tidak menyalahtafsirkan data panggilan kes keganasan rumah tangga dan penderaaan kanak-kanak panggilan Talian Kasih sepanjang PKP yang disiarkan di portal KPWKM.

“Dipohon merujuk sumber sahih serta penjelasan kementerian sebelum membuat sebarang kenyataan di mana-mana saluran komunikasi,” katanya.