Kuarantin 1,188 rakyat dari luar negara berjalan lancar, kata menteri

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

PUTRAJAYA: Proses kuarantin 14 hari terhadap 1,188 rakyat Malaysia yang tiba di tanah air di pusat kuarantin berdekatan berjalan lancar, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada angka itu seramai 711 rakyat pulang dengan pesawat dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sehingga kini, katanya, terdapat 90 pusat kuarantin disediakan di seluruh negara dengan kira-kira 40,000 individu boleh ditempatkan dalam satu masa.

Bagaimanapun, setakat ini hanya 4,000 katil yang digunakan untuk mereka yang diarahkan menjalani tempoh kuarantin.

“Jadi, ia lebih daripada mencukupi,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat harian Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

Ismail Sabri juga meluahkan kekesalan terhadap beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengeluarkan berita palsu mengenai usaha kuarantin rakyat yang pulang dari luar negara.

Beliau menafikan semua hebahan yang mengatakan mereka yang dikuarantin dibawa menaiki trak penjara ke pusat kuarantin.

Sebaliknya, jelas beliau, kenderaan tersebut hanya digunakan untuk membawa barangan dan bagasi mereka ke pusat kuarantin.

Pada perkembangan lain, Ismail berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjalankan proses nyahjangkitan ke atas 170 balai polis dan lebih 38,000 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di beberapa negeri.

Katanya, KPKT bersama mesyuarat MKN bersetuju membenarkan pihak pengurusan kediaman beroperasi sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, hanya 2 orang pekerja pengurusan dibenarkan berada di tempat kerja dalam satu masa, katanya.