Pematuhan PKP di pasar borong KL tidak memuaskan, kata menteri

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa mahu gerai di pasar borong Kuala Lumpur dinyah cemar bagi keselamatan pekerja dan pengunjung. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Tahap kawalan dan pematuhan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi kawasan kejadian positif Covid-19 di Pasar Borong Kuala Lumpur tidak memuaskan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa.

Ia berdasarkan tinjauan mengejut menteri berkenaan ke atas pasar itu tengah hari tadi berikutan terdapat 8 kes positif Covid-19 dilaporkan di pasar tersebut.

“Kebanyakan kaunter penjualan tiada cecair pembasmi kuman, selain tidak mengamalkan jarak sosial. Pekerja pasar itu juga tidak memakai sarung tangan, ramai yang memakai penutup mulut dan hidung kain yang tidak memenuhi piawaian KKM,” katanya ketika siaran langsungnya menerusi laman sosial Facebook milik kementerian, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham Ahmad Dahlan bersama pasukan penguat kuasa serta KKM untuk membaiki tahap pematuhan itu.

“Kita memberi persetujuan pasar borong boleh beroperasi dari jam 4 pagi hingga 12 tengah hari kerana mendapat rayuan daripada penanam sayur, peniaga dan orang ramai yang mahukan bekalan makanan diteruskan.

“Oleh itu langkah-langkah tertentu perlu diambil, jangan mengamalkan sikap ambil mudah, terutamanya semasa berada di kawasan pasar itu,” katanya.

Annuar berkata, KKM akan menjalankan pemeriksaan kesihatan terhadap lebih 100 pekerja pasar borong berkenaan esok dan mencadangkan supaya gerai di pasar berkenaan dinyah cemar bagi keselamatan pekerja dan pengunjung.

Annuar berkata, setakat ini sejumlah 588 kes positif Covid-19 direkodkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Daripada jumlah itu, terdapat 7 kes kematian yang berlaku di Kuala Lumpur. Oleh kerana Wilayah Persekutuan masih berada dalam zon berbahaya, warga kota dinasihatkan supaya mematuhi perintah kawalan pergerakan sepanjang masa,” katanya.