Pembatalan bazar Ramadan jejas perniagaan ‘food truck’

Sekurang-kurangnya 2 daripada 3 pemilik food truck biasanya akan berniaga di bazar Ramadan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang wakil pengendali “food truck” di Selangor akan menemui wakil kerajaan negeri bagi memberi cadangan bagi pengubahsuaian perkhidmatan ketika Ramadan.

Presiden Kelab FoodTruck Selangor, Abdul Rahman Supari memberitahu FMT, beliau akan mencadangkan supaya 20 hingga 30 food truck dibenarkan beroperasi pada satu masa namun memenuhi permintaan atas talian sahaja dengan penghantar makanan akan menghantar pesanan kepada pelanggan.

Beliau berkata pembatalan bazar Ramadan adalah tamparan besar kepada pengendali food truck kerana bulan puasa memberi pulangan yang besar. “Kita boleh menjana keuntungan RM8,000 hingga RM10,000 hanya dalam tempoh sebulan itu.”

Katanya, sekurang-kurangnya 2 daripada 3 pemilik food truck biasanya akan berniaga di bazar Ramadan.

Rahman berkata beliau akan mengemukakan cadangannya pada pertemuan akan datang dengan majlis perunding Selangor bersama penjaja dan perniagaan kecil, di mana beliau adalah ahlinya.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengumumkan bazar Ramadan tidak akan dibenarkan kerana ancaman Covid-19.

Bagaimanapun, beliau berkata larangan itu boleh ditarik balik tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kesihatan. Beliau juga bercakap mengenai kemungkinan bazar secara atas talian yang akan bekerjasama dengan perkhidmatan penghantaran makanan.

Bulan puasa akan bermula kurang 2 minggu selepas perintah kawalan gerakan (PKP) tamat.

Food truck tidak dibenarkan beroperasi semasa tempoh PKP. Ini menyebabkan Rahman dan ramai rakannya terpaksa menggunakan simpanan masing-masing untuk keperluan harian.

Katanya, beliau bersyukur dengan bantuan kewangan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dan bantuan zakat Selangor.

Beliau berkata pengendali food truck bimbang kemungkinan PKP dilanjutkan, sambil menambah keadaan itu akan membebankan walaupun menerima bantuan dari kerajaan kerana peniaga kecil sepertinya hanya mempunyai simpanan yang cukup untuk bertahan selama 1 atau 2 minggu.

Beliau juga berkata banyak pemilik food truck tidak layak mendapat bantuan kerajaan kerana mereka tidak berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau menganggarkan hanya 50 dari 300 pengendali food truck di negeri itu berdaftar dengan PBT.

“Food truck tidak hanya kekal di satu kawasan. Mereka bergerak dari satu tempat ke tempat. Apabila mereka pergi ke acara-acara, mereka membayar kepada penganjur dan penganjur akan mendapatkan permit daripada pihak berkuasa tempatan.

“Jadi mereka tidak memerlukan lesen PBT,” katanya.