Persatuan mahu kerajaan terus bantu pemandu teksi terjejas susulan pelaksanaan PKP

Berikutan pelaksanaan PKP, syarikat dan pemandu teksi kehilangan hampir 90% pendapatan.

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan dan Syarikat Teksi Semenanjung Malaysia (GPST) meminta kerajaan melihat nasib syarikat dan pemandu pemandu teksi yang mengalami penurunan sehingga 90% pendapatan semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas.

Presidennya, SM Shalahuddin Ayubi Kamal Azad berkata, bagi meringankan beban dan implikasi kewangan dihadapi pemandu teksi, persatuan mencadangkan sama ada mereka tidak dikenakan sewa, atau diberi penangguhan atau diskaun ke atas sewa tertakluk kepada kontrak pemandu individu.

Beliau berkata, pada masa ini pemandu teksi diminta berbincang dengan syarikat masing-masing bagi menentukan pilihan yang terbuka kepada mereka.

“GPST juga sedang mengusahakan bantuan kerajaan dan meminta pertimbangan supaya mengenakan kadar cukai minimum atau sifar kepada syarikat teksi untuk baki tahun ini.

“Ia akan mengambil masa lebih 6 bulan untuk syarikat teksi untuk pulih. Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi bantuan sekali gus RM500 sekarang dan RM 600 bermula 1 April, depan kepada pemandu teksi,” katanya.

Shalahuddin berkata, kerajaan boleh menimbangkan subsidi tambahan, selain bantuan sebanyak RM600 daripada Perkeso bagi membantu syarikat teksi dan pekerja syarikat teksi yang bukan pemandu.

Katanya, bantuan itu akan dapat membantu ahli persatuan mengekalkan dan menjaga kakitangan mereka semasa menghadapi situasi mencabar masa ini.