Putrajaya perkenal program TV pendidikan semasa PKP

Program TV pendidikan boleh ditonton secara percuma menerusi saluran 110 MyFreeview TV atau saluran 146 di Astro dan Astro NJOI.

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia memperkenalkan slot program TV pendidikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mulai 6 April.

Kementerian itu berkata program menerusi saluran TV Okey itu merupakan usaha membolehkan murid mendapat akses kepada bahan pembelajaran melalui platform alternatif selain pembelajaran atas talian.

“KPM menyediakan rancangan berbentuk pembelajaran yang
bersesuaian untuk disiarkan oleh RTM.

“Dengan ini, murid yang tidak mendapat capaian internet tidak akan ketinggalan dan masih boleh mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah melalui televisyen,” menurut kenyataan itu.

Ia juga berkata slot itu boleh ditonton secara percuma menerusi saluran 110 MyFreeview TV atau saluran 146 di Astro dan Astro NJOI. Bagi mereka yang mempunyai capaian internet, ia boleh ditonton melalui www.myklik.rtm.gov.my secara web streaming.

“Sebagai permulaan, ia akan disiarkan selama 2 jam setiap hari sepanjang tempoh pelaksanaan PKP. Waktu
siaran adalah pada pukul 9 hingga 10 pagi dan pukul 1 hingga 2 petang.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin, berkata sesi pembelajaran melalui TV pendidikan itu akan menawarkan siri latihan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan di negara ini khusus bagi mereka yang tidak mempunyai akses internet.

“Pendekatan ini diambil bagi memberi ruang kepada pelajar yang tiada akses kepada internet tetapi dapat akses kepada televisyen. Kita sedar bukan semua pelajar mendapat akses internet,” katanya.