Putrajaya pertimbang tangguh atau kurang yuran IPTA akibat PKP

Kerajaan memberi jaminan kebajikan pelajar universiti di kolej kediaman dijaga dengan baik ketika PKP.

PUTRAJAYA: Kerajaan sedia mempertimbang cadangan menangguh atau mengurangkan bayaran yuran di universiti awam ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini susulan sesi kuliah dan aktiviti pelajar di universiti masing-masing ditangguhkan sejak sebulan lalu.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan maklum mengenai cadangan tersebut dan akan membawa usul itu kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk dibincangkan lebih lanjut.

“Kita dengar (cadangan), InsyaAllah kita akan bangkitkan ke dalam mesyuarat,” katanya dalam sidang media, di sini.

Bagaimanapun, beliau menyeru ibu bapa tidak berasa risau terhadap keselamatan dan kebajikan anak-anak yang berada di kampus sepanjang tempoh PKP.

Katanya, kerajaan memberi jaminan kebajikan anak-anak mereka di kolej kediaman dijaga dengan baik sekali.

“Saya tahu dah lama anak-anak berada di sana (kolej kediaman). Lebih 14 hari.

“Ibu bapa mula risau. Kerajaan berikan jaminan kita pastikan kebajikan anak mereka dan tiada ada isu besar berkaitan anak mereka. Semuanya akan ditanggung, kebajikannya jangan diragui.”

Ismail berkata Kementerian Pengajian Tinggi juga bersetuju untuk melanjutkan tempoh permohonan kemasukan ke pusat pengajian tinggi sehingga 17 April ini.

Jelasnya, permohonan UPU secara atas talian itu bagi permohonan ke universiti awam, institut perguruan, kolej matrikulasi, kolej komuniti dan berkaitan dengannya.