Teruskan projek skala besar, elak pengangguran akibat Covid-19, kata Najib

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, projek berskala besar seperti MRT 3, HSR dan ECRL perlu diteruskan kerana ia mampu mewujudkan ribuan peluang pekerjaan.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, negara memerlukan pakej pemulihan jangka panjang, termasuk pemulihan ekonomi bagi mengatasi kesan wabak Covid-19.

Katanya, langkah itu perlu bagi memastikan rakyat kekal mempunyai pekerjaan dan poket mereka sentiasa mempunyai wang.

“Apa yang kita perlukan bukan sahaja pakej rangsangan ekonomi tetapi pelan pemulihan ekonomi negara,” katanya dalam satu wawancara bersama media, The Outlook, bertajuk “Covid-19 dan Cabaran Ekonomi”.

Najib berkata, pakej rangsangan bernilai RM250 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini adalah baik untuk penyelesaikan segera keadaan, tetapi langkah pemulihan jangka panjang perlu dirancang, termasuk memastikan tiada pengangguran dialami rakyat Malaysia.

Dengan memberi contoh Amerika Syarikat, beliau berkata, angka tuntutan pengangguran meningkat daripada 210,000 kepada 6.7 juta dan ia merupakan amaran bahawa situasi sama boleh berlaku di Malaysia.

“Kalau ia berlaku kepada Amerika Syarikat, maka ia boleh berlaku kepada kita. Pengangguran akan naik,” katanya.

Katanya, antara langkah yang boleh dilakukan kerajaan bagi mengelak berlakunya pengangguran di Malaysia ialah dengan melaksanakan projek berskala besar seperti meneruskan pembinaan MRT 3, Projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) kerana ia mampu mewujudkan ribuan peluang pekerjaan.

“Kita mesti gerakkan projek yang boleh menyediakan peluang pekerjaan secara skala besar, umpamanya MRT3, HSR dan ECRL. Projek sebegini memberi pulangan besar kepada rakyat dan ia akan memberi keutungan jangka panjang kepada kita.

“Dalam jangka pendek ini kita perlu sediakan pekerjaan, ribuan pekerjaan. Ini satu cara yang boleh kita lakukan,” katanya.

Najib turut memberi beberapa contoh lain kesan penularan Covid-19 kepada syarikat peniagaan sehingga ada yang mengalami kerugian sehingga 80%.

“Kita kena pikir cara nak selamatkan perniagaan. Kalau kita beri subsidi kepada pekerja atau syarikat, tapi hakikatnya syarikat ini tidak ada permintaan, maka juga tiada perniagaan (akibat Covid-19).

“Saya jumpa banyak ahli perniagaan, mereka kata perniagaan merudum sampai 80%. Macam mana mereka nak kekalkan pekerja dalam syarikat? Jadi pemberian subsidi sahaja tidak akan selesaikan masalah pokok.

“Antara cara kita nak selesaikan masalah ialah dengan membantu misalnya kalau mereka menyewa bagunan dengan syarikat swasta (atau penyewa rumah bagi golongan B40 dengan pemilik rumah), kerajaan boleh adakan undang-undang.

“Sebagai contoh dalam masa 6 bulan katakan, jika mereka tidak boleh bayar sewa, mereka tidak boleh dihalau keluar sebab ini darurat ekonomi,” katanya, sekali gus meminta kerajaan menyemak semula undang-undang, termasuk memperkenalkan moratorium muflis.

“Kita mesti bertindak pantas untuk membantu rakyat dan perniagaan,” katanya.

Najib berkata, pakej rangsangan ekonomi yang menyaksikan kerajaan membenarkan pengeluaran dari akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanyalah sebahagian daripada penyelesaian tersebut.

Dalam pada itu katanya, KWSP memerlukan projek yang boleh memberi manfaat supaya ia boleh memberikan lebih banyak dividen kepada rakyat.

“KWSP perlu melakukan projek besar di dalam dan luar negara bagi menjana keuntungan tinggi dan akhirnya dividen yang tinggi juga boleh diberikan kepada rakyat,” katanya.

Najib berkata, bantuan lain kepada rakyat juga perlu diteruskan, termasuk bantuan tunai.

“Kita mesti memasukkan wang ke dalam poket rakyat. Apabila mereka berbelanja, ia akan mendatangkan kesan yang positif.

Najib juga tidak menolak berlakunya kemelesetan ekonomi global apabila permintaan dan bekalan menjadi lemah.

Katanya, untuk ekonomi pulih, salah satu perkara utama yang perlu dipertimbangkan ialah meningkatkan bekalan domestik.

“Kita tidak boleh bergantung pada pasaran eksport. Pengeluaran makanan tidak boleh diganggu dan kita perlu melihat cara untuk menghasilkan lebih banyak makanan”, katanya merujuk keputusan kerajaan Vietnam pada 24 Mac untuk menggantung eksport beras bagi memastikan keselamatan makanan di tengah-tengah penularan wabak Covid-19.