Covid-19: Pakistan kesan puluhan ribu jemaah tabligh

Jemaah menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid ketika perintah berkurung di Peshawar, bulan lalu. (Gambar AP)

LAHORE: Pihak berkuasa Pakistan sedang mengesan puluhan ribu jemaah yang menghadiri perhimpunan tabligh di Lahore bulan lalu, ketika Covid-19 sedang melanda negara itu, kata seorang pegawai kepada AFP semalam.

Pihak berkuasa mahu menjalani ujian saringan atau kuarantin terhadap mereka yang menghadiri gerakan tabligh, Tablighi Jamaat dari 10 Mac hingga 12 Mac di tengah-tengah kebimbangan penyebaran Covid-19 di seluruh Pakistan dan di luar negara.

Penganjur berkata kira-kira 100,000 orang menghadiri perhimpunan itu, yang diadakan walaupun kerajaan meminta ia dibatalkan memandangkan pandemik Covid-19 semakin teruk.

Seorang pegawai di pejabat Pesuruhjaya Daerah Lahore yang enggan mendedahkan nama memberitahu AFP bahawa lokasi perhimpunan di luar bandar timur itu kini ditutup.

“Pihak berkuasa di semua daerah (negara) cuba mengesan mereka yang menghadiri acara itu,” kata pegawai itu.

Kira-kira 2,500 peserta – termasuk 1,500 warga asing – yang tinggal di sekitar tapak acara, termasuk masjid dan tempat penginapan diletakkan di bawah kuarantin.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 154 jemaah yang pergi ke Jamaat itu bulan lalu positif ujian Covid-19, dengan 2 kematian setakat ini, kata pihak berkuasa kepada AFP.

Para pegawai setakat ini mengesan kira-kira 7,000 peserta di wilayah Punjab dan meletakkan mereka di bawah kuarantin.

Tablighi Jamaat dianggap sebagai salah satu pergerakan terbesar di dunia, dengan berjuta-juta pengikut, terutamanya di Asia Selatan. Ia menghantar pendakwah ke negara lain untuk menyebarkan ajaran Islam.

Menurut penganjur, sejumlah warga asing turut menghadiri perhimpunan itu, termasuk dari China, Indonesia, Nigeria, dan Afghanistan.

Kira-kira 1,500 warga asing kini dikuarantin di Pakistan, tetapi yang lain meninggalkan negara itu tanpa menjalani saringan.

Pada 23 Mac, Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan 2 kes pertama Covid-19 melibatkan warga Palestin yang menghadiri perhimpunan itu.

Perhimpunan tabligh yang sama diadakan di Malaysia dan India di tengah-tengah pandemik Covid-19 dan ia dipersalahkan kerana menyebarkan virus ke negara lain.

Menteri Sains Pakistan Fawad Chaudhry melahirkan kegelisahan terhadap perhimpunan itu dan menyalahkan “kedegilan para agamawan”.

“Mana-mana kumpulan yang tidak mematuhi nasihat kerajaan dan terus melakukan aktiviti normal mereka akan membahayakan orang lain,” katanya kepada AFP.

Bercakap kepada AFP, pendakwah kanan Tablighi, Naeem Butt, berkata ia adalah “jahil” dan “tidak bertanggungjawab” untuk menyalahkan pergerakan itu bagi menyebarkan virus tersebut.

“Kami membatalkan acara selepas 2 hari apabila pihak berkuasa memberitahu kami untuk berbuat demikian,” katanya.

Pada masa itu, penganjur menyalahkan cuaca hujan, bukan virus tersebut apabila terpaksa mengakhiri acara tersebut.

Covid-19 membunuh sekurang-kurangnya 41 orang di Pakistan, walaupun dengan hanya ujian terhad di mana pemerhati bimbang jumlahnya jauh lebih tinggi.