Guna budi bicara hukum pesalah ingkar PKP, kata ketua hakim

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

PETALING JAYA: Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menyeru hakim mahkamah menggunakan budi bicara dalam mengenakan hukuman terhadap pesalah yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mengambil kira risiko penularan Covid-19 di penjara.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan memaklumkan semua majistret dan hakim Mahkamah Sesyen perlu mempertimbangkan masalah kesesakan di dalam penjara.

“Di samping mengambil kira peruntukan hukuman berdasarkan undang-undang yang sedia ada, masalah berkenaan risiko penularan wabak covid-19 yang bakal dihadapi oleh penjara-penjara di Malaysia boleh juga diambil pertimbangan,” kata pejabat itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu juga mengesahkan badan kehakiman menerima surat daripada Ketua Pengarah Penjara Zulkifli Omar, yang mencadangkan supaya hakim menggunakan Akta Perintah Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 untuk memerintahkan pesalah MCO melakukan khidmat masyarakat wajib, bukannya menghantar mereka ke penjara.

Zulkifli, dalam satu surat kepada Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, berkata langkah itu bagi mengelakkan sebarang kemungkinan virus itu tersebar dalam kalangan penghuni dan kakitangan penjara.

Beliau berkata tahanan baru akan menambahkan lagi kesesakan dalam penjara dan jabatan itu juga bimbang virus itu merebak kerana status kesihatan pendatang baru tidak diketahui.

Beliau berkata penjarakkan sosial tidak dapat dikuat kuasakan dan ini memberi ancaman kepada penghuni dan kakitangan penjara sedia ada.

Melanggar PKP boleh dihukum sehingga 6 bulan penjara, atau denda sehingga RM1,000, atau kedua-duanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam Salim Bashir berkata peringatan Tengku Maimun kepada kakitangan bawahannya tepat pada masanya kerana hakim perbicaraan mempunyai budi bicara untuk menjalankan hukuman, berdasarkan undang-undang yang ada.

Salim berkata mahkamah boleh mengenakan denda minimum, penjara sehari atau mengikat mereka untuk menunjukkan tingkah laku yang baik.

Sebagai alternatif, beliau berkata hakim boleh memerintahkan pesalah melakukan khidmat masyarakat di bawah undang-undang, seperti yang dicadangkan Zulkifli, selepas PKP ditarik balik dan selamat untuk mereka melaksanakannya.