Menakutkan… Mayat Covid-19 di Ecuador dibiarkan di tepi jalan

Polis melihat mayat mangsa Covid-19 diletakkan di tepi rumah di pinggir bandar Guayaquil. (Gambar AP)

Naib presiden Ecuador, Otto Sonnenholzner memohon maaf kepada rakyatnya selepas banyak mayat ditinggalkan di tepi jalan di Guayaquil di saat wabak Covid-19 menyerang bandar pelabuhan itu.

Menerusi satu video yang tular dipercayai dirakam penduduk di pelabuhan itu sendiri menunjukkan mayat-mayat yang dibiarkan di sepanjang jalan selepas bandar Amerika Latin itu teruk diserang wabak pandemik tersebut.

Awal minggu ini sahaja pihak berkuasa mengumpulkan sekurang-kurangnya 150 mayat daripada tepi jalan dan rumah.

Bagaimanapun sehingga kini kerajaan Ecuador tidak mendedahkan angka sebenar berapa ramai yang mati disebabkan Covid-19.

“Kami telah melihat imej yang sepatutnya tidak berlaku dan sebagai kakitangan awam, saya memohon maaf,” kata Sonnenholzer.

Berdasarkan WHO, Ecuador mencatatkan hampir 3,500 kes Covid-19 termasuk 172 kematian.

Kerajaan Ecuador turut mengenakan perintah berkurung malam dalam usaha untuk membendung penyebaran Covid-19.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]