Peningkatan 179 kes positif Covid-19 baru berkait 3 kawasan PKPD, kata KP Kesihatan

Tiga kawasan terbabit PKPD ialah 2 kampung di Simpang Renggam, Johor dan kawasan di Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Selangor, selain Menara City One di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.

PUTRAJAYA: Peningkatan 179 kes positif Covid-19 baru hari ini antara lain mempunyai kaitan dengan aktiviti pengesanan aktif di 3 kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Tiga kawasan terbabit ialah 2 kampung di Simpang Renggam, Kluang, Johor dan kawasan di Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor, selain Menara City One di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 1,634 orang daripada 3,755 penduduk di PKPD Kluang telah menjalani proses saringan dan 12 kes positif baru dicatatkan hari ini.

“Kes positif di Kluang ada pertambahan 12 orang hari ini, menjadikan jumlah 147, berbanding 135 semalam.

“Hulu Langat pula setakat ini merekodkan 1,685 orang daripada 1,797 penduduk sudah disaring, dengan pertambahan kes positif sebanyak 14 kes, menjadikan jumlah keseluruhan 328 kes berbanding semalam 314 kes.

“Sementara itu di Menara City One daripada 1,893 penduduk pangsapuri yang disaring, sebanyak 5 kes positif dicatatkan, menjadikan jumlah keseluruhan 24 orang. Semalam kita umum 19 kes,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan 179 kes baru dicatatkan hari ini berbanding 150 kes semalam, sekali gus merekodkan jumlah kes positif semasa Covid-19 sebanyak 3,662 kes.

Empat korban baru direkodkan hari ini menjadikan angka kematian keseluruhan akibat koronavirus sehingga kini 61 orang.

Dalam pada itu, 90 mangsa jangkitan Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad hari ini, menjadikan bilangan pesakit yang sembuh 1,005 orang setakat ini.