Tiada transaksi tambah nilai kad Touch ‘n Go di Jambatan Pulau Pinang sepanjang PKP

Pengguna jalan raya diingatkan supaya mempunyai baki kredit kad Touch ‘ Go yang mencukupi ketika menggunakan Jambatan Pulau Pinang. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (Plus) menasihatkan penduduk Pulau Pinang untuk terus berada di rumah sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan hanya membuat perjalanan sekiranya benar-benar perlu bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Operasi Plus, Zakaria Ahmad Zabidi berkat,a sekiranya mereka perlu melakukan perjalanan, pelanggan lebuh raya dinasihatkan supaya memastikan mereka mempunyai baki kad Touch ‘n Go yang mencukupi kerana transaksi tambah nilai menerusi kemudahan pembantu khidmat pelanggan tidak ldibenarkan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ini bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

“Kami menggesa pelanggan lebuh raya supaya sentiasa memastikan mereka mempunyai baki kad Touch ‘n Go yang mencukupi.

“Bagi memudahkan mereka menambah nilai, pelanggan boleh berbuat demikian di pusat menambah nilai lain seperti mesin ATM, kedai serbaneka serta stesen minyak yang terdapat di sekitar Pulau Pinang dan Seberang Prai,” katanya.

Zakaria berkata, kiosk layan diri turut disediakan di lokasi terpilih sepanjang Lebuhraya Plus.

Beliau berkata, Plus amat memahami kesukaran sesetengah pemandu untuk membuat tambah nilai di lokasi lain selain plaza tol.

“Bagaimanapun, langkah untuk memberhentikan perkhidmatan menambah nilai di lorong tol sepanjang PKP perlu dilakukan bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19 dalam kalangan pelanggan dan juga pembantu khidmat pelanggan.

“Paling utama, langkah terbaik membendung penularan Covid-19 adalah dengan duduk di rumah dan sentiasa mengamalkan penjarakkan sosial,” katanya.

Zakaria berkata, dengan memastikan kad Touch ‘n Go sentiasa mempunyai baki yang mencukupi untuk transaksi tol, dapat mengelakkan interaksi langsung dan pada masa yang sama, memastikan penjarakkan sosial dapat dilakukan.