4 negara paling ‘kejam’ dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan

Polis menahan sebuah motosikal dan tidak membenarkan melalui jalan itu berikutan arahan PKP.

Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP dilaksanakan hampir semua negara di seluruh dunia.

Tidak dinafikan semua pihak berkuasa berdepan dengan kesukaran dek kerana sikap sesetengah orang yang enggan mendengar arahan sehingga melanggar perintah yang dikeluarkan.

Mungkin mereka merasa diri mereka kebal dan tidak akan dijangkiti Covid-19.

Namun haruslah semua ingat wabak Covid-19 ini tidak mengenal warna kulit, bangsa atau agama seseorang.

Ia akan menjangkiti sesiapa sahaja yang terdedah dan tidak mengamalkan kebersihan.

Dan sehingga kini pihak berkuasa Malaysia masih lagi boleh bertolak ansur dan tidak menggunakan sebarang kekerasan terhadap mereka yang langgar PKP.

Bagaimanapun di beberapa negara lain pihak berkuasa khasnya pihak polis dan tentera terpaksa menggunakan taktik yang agak ganas dalam mendidik masyarakat, agar faham situasi yang sedang dihadapi.

Berikut 4 negara yang terpaksa menggunakan kekerasan dalam melaksanakan kawalan.

1. Perancis

Pegawai polis Perancis memeriksa penumpang ketika sekatan pergerakan yang ketat dilaksanakan. (Gambar AP)

Arahan supaya setiap warga Perancis mengurungkan diri di dalam rumah secara suka rela pada awalnya langsung tidak diendahkan.

Restoran masih penuh, bar masih dikunjungi dan orang ramai masih tenang seakan tiada apa berlaku. Pihak polis juga seakan takut untuk mengambil tindakan.

Bimbang dengan situasi yang melanda serta keengganan orang ramai memberikan kerjasama, kerajaan Perancis memperkenalkan sistem dokumen yang dinamakan “attestation de déplacement dérogatoire” sebagai pas kebenaran perjalanan semua individu.

Hasil daripada perintah kawalan yang ditambah baik -pihak polis Perancis mula keras dalam usaha mereka.

Setiap individu yang gagal membawa pas akan didenda RM630 untuk satu kesalahan dan satu pas yang perlu dicetak sendiri oleh orang ramai, hanya laku untuk satu hari saja.

Esoknya, perlu dicetak pas baru untuk hari tersebut. Ini menyukarkan situasi orang ramai.

Kes-kes ketiadaan pas mula menyebabkan tindakan keras dijalankan dan malangnya kelihatan sengaja mensasarkan kumpulan minoriti Perancis.

2. Afrika Selatan

Polis Afrika Selatan melakukan pemeriksaan mana-mana premis yang masih berdegil dan beroperasi ketika perintah berkurung. (Gambar AP)

Arahan kawalan pergerakan baru mula dilaksanakan di negara Afrika Selatan, namun masyarakat dunia tidak perlu menunggu lama untuk mendapat bukti taktik agresif yang digunakan oleh pihak tentera Afrika Selatan (SANDF) dalam menangani situasi.

Beberapa insiden berlaku melibatkan orang ramai dan pihak berkuasa menggunakan apa saja kaedah yang dirasakan perlu, dalam memastikan semua orang patuh dengan perintah kurungan rumah yang dilaksanakan.

Selepas serbuan ke atas sebuah rumah menemui sekumpulan lelaki masih lagi berkumpul, anggota tentera terpaksa menggunakan kekerasan bagi menyuraikan mereka.

Kekeliruan melibatkan arahan juga menyebabkan berlakunya pergaduhan.

Beberapa orang pihak penguatkuasa gagal memahami arahan kurungan hanya melibatkan ruangan awam, bukannya laman rumah kediaman.

Dan ia menyebabkan ada anggota polis dan tentera yang menyerang orang awam dalam kawasan kediaman mereka, kerana beranggapan arahan itu memerlukan semua individu duduk di dalam rumah sahaja.

Selain itu, tentera Afrika Selatan juga sudah mula menggunakan meriam air dan peluru getah dalam mengawal situasi, sejak hari pertama perintah kawalan dilaksanakan.

Peluru getah itu khas disediakan untuk individu yang masih keluar membeli belah seperti biasa.

3. Kenya

Di negara Kenya, beberapa kes melibatkan keganasan yang dilakukan oleh pihak berkuasa terhadap individu yang ingkar arahan kawalan sudah mula tersebar.

Apa yang paling menakutkan tindakan yang diambil oleh pasukan polis Kenya selepas menyerang penumpang yang menunggu sebuah feri hadir beberapa jam sebelum tempoh kawalan bermula, dengan tembakan gas pemedih mata.

Ini menyebabkan ratusan orang yang berada dalam feri tersebut mula mengalami masalah penglihatan, muntah dan pengsan.

Malah ramai individu yang ada di kawasan itu diserang dengan belantan. Wanita, lelaki tak kira usia semua menjadi mangsa.

4. India

Tentera India berkawal di Srinagar, Kashmir sepanjang ‘lockdown’. (Gambar AP)

Polis India juga tidak kurangnya ganas dalam melaksanakan perintah ini.

Kerajaan India menutup sepenuhnya rangkaian jalan keretapi serta perkhidmatan bas antara bandar.

Ini menyebabkan banyak pihak yang berada dalam keadaan tiada sumber pendapatan terpaksa berjalan kaki untuk pulang ke rumah masing-masing.

Seorang jurutera yang khayal disebabkan medikasi ditembak pihak polis selepas didakwa cuba mencetuskan kekacauan.

Apa yang menakutkan, situasi huru-hara yang berlaku di India turut sama diambil kesempatan oleh anggota penguatkuasa yang korup.

Selain memukul dengan belantan mana-mana individu yang ingkar arahan juga didenda dengan bermacam jenis hukuman lain seperti tekan tubi, bangkit tubi atau mencangkung dalam tempoh tertentu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]