513 individu ingkar PKP ditangkap di Selangor

Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melangggar PKP.

SHAH ALAM: Setakat hari ini, 513 individu ditangkap kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi tempoh 5 hari pertama fasa ke-2 di Selangor.

Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Selangor, Mohd Ismail Muslim berkata, peningkatan itu lebih tinggi berbanding kes ketika pelaksanaan fasa pertama sebelum ini.

“Perbandingan statistik Ops Covid-19, iaitu 5 hari pertama PKP fasa pertama dari 18 Mac hingga 22 Mac, seramai 3 individu ditahan.

“Manakala bagi PKP fasa ke-2 dalam tempoh sama bermula 1 April hingga 5 April 2020, sebanyak 513 tangkapan dibuat.

“Peningkatan ketara ini hasil tindakan tegas polis, iaitu daripada menasihati kepada tindakan tegas ketika fasa ke-2 PKP menjadikan jumlah 516 kes bagi tempoh 5 hari pertama PKP fasa 1 dan fasa 2,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Sehingga kini sepanjang tempoh pelaksanaan PKP yang bermula 18 April jumlah individu yang ditangkap sebanyak 1,225 orang.

“Daripada jumlah kes disiasat, 1,154 adalah lelaki dan 71 wanita, sementara 57 didakwa di mahkamah,” katanya sambil memaklumkan bahawa polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melangggar PKP.

Daripada jumlah itu katanya, majoriti yang ditangkap melibatkan golongan remaja.

“Mereka melakukan pelbagai kes jenayah termasuk samun, pecah rumah, kumpulan haram, dadah dan kelompok yang berjoging di pusat rekreasi,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, polis Selangor akan melipatgandakan jumlah anggota pasukan perondanya untuk melakukan pemeriksaan mengejut di kawasan perumahan berkepadatan tinggi seperti kawasan flat dan kondominium.

903 rakyat pulang dari luar negara negatif Covid-19

Dalam perkembangan lain, Ismail yang juga jurucakap khas Op Covid-19, memaklumkan seramai 1,205 rakyat Selangor pulang dari luar negara sama ada melalui penerbangan sewa khas mahupun komersial sejak semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, 903 sudah disaring dan didapati negatif daripada wabak Covid-19.

“Lima daripadanya dipercayai mempunyai simptom dan dihantar ke pusat kuarantin di Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Beliau berkata, 14 individu melakukan transit di dalam negara, manakala 213 transit penerbangan ke luar negara.

Mengulas kes positif Covid-19 yang melibatkan anggota polis di Selangor, beliau berkata setakat ini, tiada saringan baru dilakukan.

“Tiada saringan baru. Setakat ini seramai 43 polis positif, iaitu 6 pegawai kanan dan 37 pegawai rendah yang masih dikuarantin di rumah masing-masing,” katanya.

Mengulas perkembangan seorang ahli Majlis Bandaraya Shah Alam bersama 3 rakannya yang ditahan polis kerana melanggar PKP dengan bermain badminton di sebuah dewan di Seksyen 23 Shah Alam, Ismail berkata, siasatan lanjut sedang berjalan.