China catat peningkatan kes baru, pesakit tanpa gejala

Seorang wanita menjalani ujian saringan Covid-19 di sebuah hotel yang dijadikan pusat kuarantin di Wuhan, wilayah Hubei di tengah China minggu lalu. (Gambar AP)

BEIJING: China melaporkan 39 kes baru Covid-19 pada Ahad berbanding 30 kes sehari sebelumnya dan jumlah kes tanpa gejala turut meningkat walaupun Beijing berusaha memerangi penularan virus itu menerusi langkah pembendungan drastik.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan dalam kenyataan pada Isnin berkata, 78 kes baru tanpa gejala dikenal pasti pada Ahad berbanding 47 kes sehari sebelumnya.

Kes import dan pesakit tanpa gejala, yang mempunyai virus itu dan boleh menjangkiti orang lain tanpa menunjukkan sebarang simptom, menjadi kebimbangan utama China dalam beberapa minggu ini selepas langkah pembendungan ketat berjaya mengurangkan kadar jangkitan.

Daripada kes baru yang menunjukkan simptom, 38 adalah individu yang memasuki China dari luar negara, berbanding 25 kes sehari sebelumnya.

Satu jangkitan tempatan baru dilaporkan di Guangdong berbanding 5 kes sehari sebelumnya di wilayah selatan itu.

Kes jangkitan tempatan baru di Shenzhen membabitkan seorang individu yang pernah ke wilayah Hubei, pusat asal penularan virus itu, kata pihak berkuasa Guangdong.

Suruhanjaya Kesihatan Guangdong meningkatkan tahap risiko bagi 4 daerah di Guangzhou, Shenzhen dan Jieyang daripada rendah kepada sederhana pada Ahad.

China mencatatkan 81,708 kes positif dengan 3,331 kematian Covid-19 setakat ini.

Jangkitan harian turun secara mendadak berbanding waktu puncak pandemik itu pada Februari lalu, apabila beratus kes dilaporkan setiap hari, tetapi kes baru terus dikesan setiap hari.

Negara itu menutup sempadannya kepada warga asing ketika virus itu tersebar di seluruh dunia, walaupun kebanyakan kes import membabitkan warga China yang pulang dari luar negara.

Kerajaan pusat juga menggesa pihak berkuasa tempatan mengenal pasti dan mengasingkan pesakit tanpa gejala.