Covid-19: Kurang maklumat berautoriti sukarkan tugas penggubal dasar perubatan

Wabak penyakit yang sedang melanda dunia kini disebabkan oleh virus baru SARS-Cov-2 yang dikenali sebagai Covid-19.

Oleh kerana ini satu penyakit baru, maklumat dan ilmu yang ada mengenai Covid-19 sangat baru, sedikit, tidak mencukupi, kurang penyelidikan, terus berubah dan sukar difahami.

Dalam keadaan biasa ilmu perubatan dibina berasaskan penyelidikan yang mempunyai tahap kebolehpercayaan dan autoriti serta tahap pembuktian yang tinggi seperti sebuah piramid.

Tetapi ini tidak boleh dicapai dengan satu penyakit baru yg kurang maklumat terbukti.

Situasi ini menimbulkan satu masalah besar kepada kerajaan dan pentadbir perubatan, terutamanya apabila berlakunya perbezaan capaian maklumat dan tahap pemahaman tentang Covid 19.

Contoh yang paling nyata boleh dilihat daripada debat mengenai keberkesanan penggunaan topeng bagi mereka yang tidak bersimptomatik serta apakah Covid-19 mampu merebak melalui udara?

Kurang maklumat dan kecelaruan respons

Seperti mana-mana organisasi, mereka yang berada di barisan hadapan mengalami masalah yang sama dari sudut kemampuan sumber manusia, ilmu dan maklumat yang ada serta bahan keperluan sambil mengambil kira faktor sosio-ekonomi dan logistik.

Maklumat yang samar ini membawa kesulitan kepada seorang doktor apatah lagi pentadbir hospital tanpa latarbelakang perubatan dan lebih lebih lagi orang awam.

Di peringkat hospital, maklumat yang samar dan berubah ini menyukarkan mereka membuat dasar dan menyalurkan arahan yang tepat dalam menangani Covid-19.

Bayangkan kalau semua hospital bertindak berbeza mengikut maklumat yang samar ini, dan jika maklumat yang samar ini tidak tepat, ini boleh menimbulkan pembaziran aset yang terhad atau membawa risiko tinggi kepada barisan hadapan perubatan yang berdepan dengan pesakit Covid-19.

Jadi proses adoptasi dan adaptasi perlu dilakukan dengan bijak.

Di peringkat hospital pula sumber manusia terbahagi kepada doktor pakar, pentadbir, pegawai perubatan, jururawat dan staf sokongan.

Kesemua mereka mempunyai tahap ilmu dan pemahaman berbeza, selain komitmen dan kemampuan serta disiplin dan etika kerja yang berlainan di antara pasukan dan juga setiap ahli.

Sangat mustahak difahami bahawa krisis dunia Covid 19 ialah satu krisis penyakit berjangkit, maka dengan itu segala tindakan atau arahan yang diambil mestilah berasaskan ilmu virologi dan ilmu penyakit berjangkit yang benar dan tepat.

Garis panduan KKM mengenai Covid-19

Beberapa garisan panduan pengurusan Covid-19 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia kepada semua hospital adalah satu langkah kritikal yang amat berkesan dan dialu-alukan.

Persoalannya bagaimana garis panduan ini boleh dipatuhi sepenuhnya oleh seluruh warga hospital.

Contohnya pihak pentadbir hospital gagal atau cuai untuk memahami garis panduan tersebut, ataupun ada kakitangan yang membuat kesilapan, atau ingkar mengikut garis panduan sehingga menyebabkan seluruh pasukan terpaksa dikuarantin.

Ini tidak termasuk kes di mana pesakit Covid-19 yang tidak memberikan maklumat tepat semasa mendapatkan rawatan hospital atsu klinik.

Berlatar-belakangkan masalah yang sedang dihadapi oleh barisan doktor, saya dengan rendah diri mencadangkan agar diwujudkan satu pusat sumber perubatan Covid-19 di semua negeri atau di peringkat Universiti Perubatan.

Pusat sumber perubatan Covid-19

Pusat sumber perubatan Covid-19 (PSPC) akan berfungsi di bawah institusi pendidikan seperti Universiti Perubatan, Majlis Tindakan Negeri (atau mana-mana Majlis Tindakan yang sesuai) atau Pejabat Kesihatan Negeri.

PSPC akan berfungsi untuk mengumpul, menyenaraikan dan membentuk satu kumpulan pasukan doktor perubatan bagi tujuan menyaring fakta perubatan yang semasa, berautoriti, relevan, bersumber (referenced), tersusun dan dalam bentuk yang ringkas dan mudah difahami untuk kegunaan terutamanya kepada pengguna (doktor, pentadbir, pegawai perubatan, jururawat di hospital.

Bahkan juga untuk menteri, timbalan menteri, menteri besar dan setiausaha kementerian dan kerajaan negeri), agensi kesihatan kerajaan di peringkat pusat dan negeri.

Selain itu, PSPC juga perlu mendapat dana dan kerjasama yang cukup daripada kerajaan negeri atau universiti untuk membentuk satu pasukan teknologi maklumat untuk menolong dalam penulisan ilmu yang dikumpul dan sebaran kepada pengguna awam, dan menjawab soalan yang berguna dan praktikal dengan ilmu perubatan semasa (based on medical facts) yang diperlukan oleh berbagai kumpulan pengguna.

Antara contoh umum soalan yang relevan yang perlu dijawab menggunakan asas ilmu perubatan ialah:

  • Adakah cahaya matahari membunuh Covid-19?
  • Adakah jangkitan boleh berlaku melalui makanan?
  • Perlukah jalanraya disembur disinfektan?
  • Perlukah seseorang yang tidak bersimptomatik menggunakan topeng?
  • Apakah amalan terbaik melawan Covid-19?

Terdapat pelbagai soalan lagi di peringkat disiplin dan subdisiplin perubatan yang memerlukan jawapan yang lebih rumit dan detail.

Diharapkan dengan terlaksananya cadangan ini, sebuah pusat sumber perubatan Covid-19 peringkat negeri atau Universiti Perubatan akan dapat mengurangkan kekeliruan maklumat mengenai Covid-19 yang tersebar luas di media sosial.

Keberkesanan PSPC untuk menyaring, mengolah dan merumuskan maklumat Covid-19 secara tepat dari segi aspek perubatan akan memberikan maklumat yang berguna kepada kerajaan pusat dan negeri, agensi kesihatan dan masyarakat.

Berdasarkan kepada maklumat dan ilmu yang betul, kita akan dapat meningkatkan peluang kita untuk menangani wabak Covid-19 dengan lebih cepat dan berkesan.

Dengan ini juga segala sumber dan kepakaran doktor perubatan di peringkat umum, disiplin dan subdisiplin di semua negeri dapat dikumpul dan dimanafaatkan serta diadun untuk merumus ilmu dan dasar yang terbaik untuk negeri dan negara, tanpa membazirkan aset yang sangat berguna ini untuk disalurkan demi kebaikan negara.

Dr Mohamad Hamzah adalah pengarah perubatan Hospital KPJ Perdana dan pengerusi Majlis Amal Islam, Kelantan

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.