Etnik Rohingya tiba dengan bot dikuarantin di Langkawi

202 orang dipercayai etnik Rohingya, ditemui di pantai di luar sebuah hotel mewah di Langkawi semalam. (Gambar MMEA)

PUTRAJAYA: Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata, 202 orang yang dipercayai etnik Rohingya yang tiba dengan bot di Langkawi semalam akan dikuarantin di sana.

“Ini kerana mereka sudah berada di perairan kita, menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga kepentingan mereka. Mereka akan dikuarantin di Langkawi, “katanya pada sidang media di sini, petang tadi.

Beliau berkata Kementerian Luar Negeri, Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadma) dan Jabatan Imigresen ditugaskan untuk membantu mereka.

Semalam, 202 orang termasuk 45 wanita dan 5 kanak-kanak dibawa ke sebuah pusat tahanan selepas tiba dengan bot di pantai di luar sebuah hotel mewah di Langkawi.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berkata mereka memberitahu pegawai tempatan bahawa 4 lelaki menyeludup mereka sebelum melarikan diri ketika dalam perjalanan ke perairan Malaysia.

Mengulas mengenai laporan bahawa akan ada kemasukan pekerja Malaysia dari Singapura yang ingin pulang berikutan pengumuman perintah berkurung 1 bulan di republik itu bermula esok, Ismail berkata, walaupun ribuan rakyat dijangka pulang, hanya 3 yang telah pulang ke Malaysia setakat ini.

Beliau berkata, arahan itu juga menyebut bahawa rakyat Malaysia tidak boleh pulang ke tanah air sehingga mereka diuji negatif Covid-19.

“Ini perjanjian awal kita dengan Singapura,” katanya.

“Sebelum pulang ke tanah air, mereka harus menjalani pemeriksaan. Mereka mesti menunjukkan surat yang menyatakan mereka negatif Covid-19.

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat sedikit perubahan kepada perjanjian yang sedang dirundingkan oleh jawatankuasa kerja yang terdiri daripada pegawai Kemeterian Luar Negeri dan Kementerian Sumber Manusia kedua-dua negara.

Ismail berkata, kerajaan Johor turut terbabit dalam rundingan itu.

Beliau percaya Kementerian Luar Negeri akan membuat pengumuman mengenai kriteria baru dalam mesyuarat esok pagi.

“Setakat ini, kita masih tidak membenarkan rakyat kita memasuki negara ini sehingga rundingan antara kedua-dua negara selesai,” katanya.