India larang rakyat Malaysia terlibat himpunan tabligh naiki penerbangan balik

Timbalan Menteri Luar Kamarudin Jaffar berkata, pihaknya menerima laporan 161 anggota jemaah tabligh Malaysia kini dikuarantin di India. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Kementerian Luar Negeri berkata, pihak berkuasa lapangan terbang India tidak membenarkan 8 rakyat Malaysia menaiki penerbangan evakuasi dari New Delhi kerana terlibat dengan perhimpunan tabligh di Markaz Nizamuddin pada 10 hingga 13 Mac lalu.

Timbalan Menterinya, Kamarudin Jaffar berkata, penahanan itu adalah ekoran daripada keputusan kerajaan India untuk melaksanakan proses kuarantin ke atas semua rakyat asing yang terlibat dalam himpunan berkenaan.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi sentiasa berhubung dengan kerajaan India bagi memastikan hak dan kebajikan mereka terjaga, selain berusaha menghulurkan bantuan yang sewajarnya.

“Ini termasuk inisiatif Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi menghantar makanan dan barangan keperluan asas kepada kumpulan berkenaan, walaupun berdepan kesukaran kerana peraturan kuarantin yang dikuatkuasakan oleh kerajaan India amat ketat,” katanya.

Kamarudin Jaffar

Pihak berkuasa lapangan terbang India pada Ahad tidak membenarkan 8 rakyat Malaysia menaiki penerbangan evakuasi dari New Delhi kerana disyaki mengambil bahagian dalam perhimpunan di bandar itu bulan lalu.

Pada 2 April, 960 warga asing, termasuk rakyat Malaysia disenarai hitam Kementerian Dalam Negeri India kerana menyertai perhimpunan Tablighi Jamaat.

Lapan rakyat Malaysia itu tinggal di beberapa kawasan berasingan di New Delhi dan mendaftar menaiki penerbangan evakuasi warga asing yang terkandas, kata seorang yang mengenali mereka.

Dalam pada itu, Kamarudin berkata Kementerian Luar Negeri menerima laporan bahawa 161 jemaah tabligh Malaysia sedang dikuarantin di India.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 126 orang ditempatkan di pusat-pusat kuarantin di New Delhi, manakala 35 yang lain dikuarantin di luar New Delhi.

“Wisma Putra ingin menasihatkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang masih berada di India agar mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa sepanjang krisis Covid-19.

“Pematuhan ini amat penting bagi mengelakkan sebarang kesulitan kepada rakyat Malaysia sendiri khususnya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kamarudin berkata, 6,749 rakyat Malaysia yang terkandas di 51 buah negara berjaya dibawa pulang ke tanah air.

“Setakat ini, 1,025 orang rakyat Malaysia masih direkodkan terkandas di 20 buah negara,” katanya.