Kerajaan perlu gesa majikan, PKS hantar pulang pekerja asing ketika PKP, kata MTUC

Kerajaan hari ini bersetuju membenarkan pengurangan levi untuk pekerja asing sebanyak 25% kepada semua syarikat yang permit pekerjanya tamat pada April hingga Jun 2020.

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata kerajaan perlu mengesa majikan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menghantar semua pekerja asing mereka pulang ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) berikutan krisis Covid-19.

Presidennya, Abdul Halim Mansor berkata, pengecualian levi tidak membawa banyak manfaat kerana kerajaan terpaksa menyediakan bantuan makanan kepada pekerja asing.

“MTUC melihat jika PKP ini diteruskan dengan masa yang lebih panjang, negara akan menghadapi masalah ekonomi yang serius dan pengurangan tenaga kerja yang sangat besar.

“MTUC memohon supaya majikan dan PKS bersama-sama berfikir bagaimanakah mereka dan pekerja dapat beroperasi semula bagi menjana ekonomi selain bersama-sama membantu dalam memerangi pandemik Covid-19,” katanya kepada FMT.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan bersetuju membenarkan pengurangan levi untuk pekerja asing sebanyak 25% kepada semua syarikat yang permit pekerjanya tamat pada April hingga Jun 2020.

Muhyiddin berkata, bagaimanapun kebenaran pengurangan levi itu tidak termasuk pembantu rumah.

Dalam pada itu, Halim berkata MTUC memohon supaya kerajaan memikirkan kaedah untuk pekerja boleh bekerja dengan syarat dan peraturan dikuatkuasakan untuk tujuan keselamatan dan kesihatan daripada jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, masalah utama yang mesti dihadapi ialah sikap tidak berhati-hati.

Beliau berkata, MTUC memuji langkah kerajaan menaikkan bantuan subsidi gaji syarikat daripada had 100 orang pekerja kepada 200 orang.

Katanya, langkah itu menunjukkan kerajaan mendengar dan prihatin keperluan yang dimohon oleh majikan dan PKS.

“Bantuan subsidi gaji dari RM 600 dinaikkan RM800 sehingga RM1,200 bagi majikan dan PKS yang mempunyai tenaga kerja 75 orang ke bawah.

“Ini satu tindakan yang luar biasa dan serius hanya dengan satu syarat, iaitu pekerja tidak diberhentikan dalam masa 6 bulan, iaitu 3 bulan semasa PKP dan 3 bulan selepas PKP,” katanya merujuk kepada pakej rangsangan tambahan berjumlah RM10 bilion untuk PKS yang diumumkan oleh perdana menteri hari ini.