Menteri sahkan pengecualian PKP bagi Heineken, Carlsberg dibatal

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengeluarkan serta-merta surat pembatalan kelulusan untuk kilang Heineken dan Carlsberg meneruskan operasi ketika PKP. (Gambar Reuters)

PUTRAJAYA: Menteri kanan, Ismail Sabri Yaakob hari ini mengesahkan Putrajaya membatalkan kelulusan yang diberikan kepada kilang arak Heineken dan Carlsberg untuk meneruskan operasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pagi tadi.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) akan keluarkan surat (pembatalan) serta-merta,” katanya pada sidang media Majlis Keselamatan Negara.

Terdahulu, FMT melaporkan kelulusan “operasi terhad” diberikan kepada kilang arak itu menerusi surat bertarikh 31 Mac lalu yang ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Hasnol Zam Zam Ahmad atas alasan ia memenuhi kriteria pembekal makanan dan boleh terus beroperasi ketika PKP.

Ia mengundang kritikan beberapa pihak termasuk PAS, parti sekutu kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Proses nyahcemar

Ismail Sabri berkata, proses nyahcemar di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sudah dilakukan di 56 kawasan di 9 negeri setakat semalam, termasuk 27 kawasan di Johor dan 6 kawasan di Sarawak.

Ia turut merangkumi 113 kawasan awam, termasuk rumah ibadat, pasar awam, pasar raya dan kawasan perumahan.

“Juga dinyahcemar 19 bangunan kerajaan dan 3 Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang melibatkan 4,872 unit rumah.”

Pusat kuarantin

Beliau berkata, tiada laporan diterima berhubung operasi pusat kuarantin di seluruh negara yang menempatkan rakyat baru pulang dari luar negara.

“Kerajaan berterima kasih kepada semua individu yang menjalani perintah kuarantin wajib atas kerjasama yang diberikan.”