Pakar tidak setuju guna khidmat helikopter ‘uzur’ ketika PKP

Pakar berkata, cadangan untuk mengaktifkan kembali penggunaan helikopter Nuri bagi tujuan penghantaran bantuan ke kawasan pedalaman semasa tempoh PKP membahayakan nyawa anggota tentera. (Bernama pic)

PETALING JAYA: Seorang penganalisis pertahanan tidak bersetuju dengan cadangan bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar (B) Nor Ibrahim Sulaiman supaya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengaktifkan kembali penggunaan helikopter Nuri, khusus bagi menghantar bantuan kepada penduduk yang terjejas di kawasan pedalaman ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Mohd Mizan Aslam.

Pakar Kajian Strategik dan Ancaman Keganasan Universiti Malaysia Perlis, Mohd Mizan Aslam berkata, cadangan itu langkah tidak bertanggungjawab dan membahayakan nyawa pegawai ATM kerana menggunakan pesawat “uzur” melebihi 50 tahun.

“Cadangkan penggunaan semula helikopter Nuri ketika bencana Covid-19 ini tindakan tidak bertanggungjawab.

“Nyawa anggota tentera bukannya murah dan tidak bernilai. Tidak perlu gerakkan semula Nuri yang tidak lagi mampu beroperasi, selain kos penyelenggaraan tinggi, dan risiko mengakibatkan kemalangan udara adalah besar,” katanya kepada FMT sambil memuji langkah kerajaan menempatkan tentera di barisan hadapan dalam mendepani pandemik Covid-19.

Mizan berkata, alternatif lain boleh dilakukan kerajaan tanpa

mengaktifkan kembali helikopter Nuri, iaitu dengan menggunakan aset dimiliki agensi lain untuk membantu rakyat.

“Kerajaan boleh menggunakan aset yang dimiliki agensi lain seperti polis, Agensi Penguatkuasaan Maratim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan lain-lain.

“Malah, kerajaan juga boleh menggunakan aset agensi swasta seperti Westar, Systematic Aviation, Hazmi Dimasyq, Cempaka dan sebagainya,” katanya sambil memaklumkan kerajaan juga mempunyai pilihan untuk menyewa aset dari negara lain seperti Singapura, Indonesia, Brunei, China dan Rusia.

Mizan berkata, keputusan Panglima TUDM, Ackbal Abdul Samad mengumumkan penamatan perkhidmatan 12 pesawat Nuri yang telah berkhidmat selama 50 tahun pada Januari adalah tepat.

“Kebanyakkan negara menggunakan sesebuah jentera maksimum hanya 35 tahun.

“Nuri lebih sesuai dijadikan bahan latihan, pameran dan sejarah berkaitan ATM khususnya, TUDM.

Dalam perkembangan sama, beliau mencadangkan supaya kerajaan mempercepatkan proses penyelesaian isu berkaitan pesawat helikopter tempur ringan MD530G yang belum diterima.

“Ia sepatutnya diterima pada Julai 2017, sekarang hampir 3 tahun, bayaran bernilai jutaan ringgit telah dilakukan,” katanya merujuk kepada 6 helikopter tempur ringan baru belum diterima Malaysia.

Menteri Luar, Hishammuddin Hussein baru-baru ini berkata, Kementerian Pertahanan akan menerima 6 helikopter itu dalam masa terdekat.

Nor Ibrahim sebelum ini mencadangkan supaya ATM mengaktifkan semula penggunaan pesawat Nuri khusus bagi menghantar bantuan kepada penduduk yang terjejas di kawasan pedalaman ketika PKP.

Katanya, semua operasi ketenteraan ketika ini dilakukan sepenuhnya menggunakan helikopter EC725, termasuk bagi menghantar bantuan makanan kepada penduduk, terutama di pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Sebagai langkah interim, penggunaan 12 helikopter Nuri yang ditamatkan perkhidmatan sebelum ini boleh diaktifkan kembali, terutamanya bagi membantu rakyat di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Bagaimanapun, helikopter Nuri yang mahu diguna sementara ituvperlu dipastikan sudah menjalani penyelenggaraan yang lengkap dan tidak membahayakan anggota ATM,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.