Suntik RM150 bilion ke dalam ekonomi, seru ahli ekonomi

Aliran wang terbatas kerana kawalan seluruh negara, menyebabkan ekonomi susut, kata pakar.

PETALING JAYA: Seorang ahli ekonomi menyeru langkah drastik bagi menghindari kemelesetan ekonomi kerana krisis Covid-19, mencadangkan suntikan wang tunai RM150 bilion secara langsung ke dalam ekonomi.

Kameel Mydin Maeera berkata Malaysia mungkin berdepan kemelesetan berganda thaun ini, dengan jutaan akan kehilangan kerja.

Bagi mengelak kemelesetan, beliau berkata kerajaan persekutuan boleh meningkatkan bekalan wang daripada bank pusat.

Kerajaan perlu menyuntik wang tunai RM150 bilion secara langsung ke dalam ekonomi dan bukannya langkah semasa dalam pakej rangsangan RM250 bilion yang diumumkan baru-baru ini.

Kameel Mydin Meera

Beliau berkata peningkatan dalam bekalan wang akan membantu perniagaan terus menjalankan kilang-kilang dan kedai-kedai, dan wang secukupnya untuk keperluan asas.

Bekas dekan Institut Perbankan dan Kewangan Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu mengingatkan kerajaan supaya tidak meminjam wang, terutama daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan institusi lain.

Beliau berkata hutang seperti itu akan membebankan generasi akan datang.

Kameel menambah perintah kawalan pergerakan akan menyebabkan syarikat-syarikat tutup kerana tiada wang untuk menjalankan operasi.

“Oleh kerana wang tidak bergerak, ekonomi akan susut kerana kesan pengganda,” kata Kameel, yang kini mengetuai sebuah kumpulan perunding.

Dalam satu laporan terbaru, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia membuat spekulasi 2.4 juta rakyat mungkin tiada pekerjaan apabila pertumbuhan KDNK menguncup kepada -2.9% pada 2020.

Kameel berkata kemelesetan sudah dijangka sebelum krisis Covid-19 meletus.

Beliau tidak bersetuju dengan ramalan pakej rangsangan itu akan menyumbang 2.8% kepada KDNK, seperti yang dinyatakan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz baru-baru ini.

“Sekarang kita juga akan berdepan kemelesetan daripada sektor runcit, antara lain. PKS akan terkesan teruk dengan jutaan diberhentikan kerja,” katanya, dan menambah hanya langkah drastik akan selamatkan Malaysia.

Tiada pertumbuhan KDNK

Nazari Ismail

Nazari Ismail, seorang profesor ekonomi di Universiti Malaya ragu-ragu tentang prospek pertumbuhan KDNK pada 2020.

“Tetapi saya yakin akibatnya hutang kerajaan akan bertambah,” katanya kepada FMT.

Seorang lagi ahli ekonomi, Yeah Kim Leng berkata, ekonomi akan lagi terkesan sekiranya perintah kawalan pergerakan dilanjutkan selepas 14 Apr.

“Walaupun ia tidak dilanjutkan, mungkin sekali perhimpunan besar-besaran tidak dibenarkan, dan kegiatan sosial dan pelancongan akan dikawal sebagai perlindungan terhadap gelombang baru wabak virus,” katanya kepada FMT.

Kawalan itu akahn mengakibatkan penurunan penggunaan pengguna dan kemungkinan juga kegiatan pengelauran, komersial dan perdagangan jika kilang-kilang dan premis perniagaan hanya dibenarkan separa buka.

Beliau seterusnya berkata jangkaan pakej rangsangan akan menyumbang 2.8% kepada pertumubuhan KDNK sudah difaktorkan dalam ramalan Bank Negara iaitu pertumbuhan KDNK antara -2.0 hingga 0.5% pada 2020.

Yeah berkata keadaan semasa boleh menyebabkan kemelesetan yang cetek seperti pada 2009 atau yang dalam seperti pada 1998. Beliau mengingatkan sukar untuk meramalkan setakat mana kemelesetan itu ketika bilangan global jangkitan Covid-19 masih meningkat.