4 lelaki ‘gian menyanyi’ ditahan ingkar PKP

4 lelaki ditangkap ketika menyanyi di sebuah pusat karaoke di Penampang, Kinabalu, malam tadi.

KOTA KINABALU: Empat lelaki ditahan selepas mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas mereka didapati menyanyi di sebuah pusat karaoke di Menara Penampang, malam tadi.

Seorang daripada lelaki terbabit merupakan pemilik pusat tersebut turut berdepan masalah apabila menjalankan operasi perniagaan tanpa lesen yang sah.

Ketua Polis Daerah Penampang Mohd Haris Ibrahim berkata, sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan terdengar bunyi bising dari salah satu kedai di kawasan berkenaan pada jam 9.50 malam.

“Pasukan itu pergi membuat pemeriksaan dan mendapati bunyi muzik yang bising dan lelaki terbabit menyanyi di salah satu bilik.

“Mereka ditahan kerana melanggar PKP,” katanya, sambil menambah polis turut merampas sistem karaoke dan wang tunai berjumlah RM1,300.

Haris berkata polis mengemukakan kertas siasatan kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.