Pengorbanan… Bekas pesakit Covid-19 derma darah plasma untuk rawat pesakit lain

Reza Huzairi ketika menjalani proses pendermaan plasma darah pada 2 April lalu di Pusat Darah Negara. (Gambar Facebook)

Walaupun vaksin Covid-19 masih lagi dalam kajian para saintis, namun ada berita gembira menanti semua rakyat Malaysia buat ketika ini.

Menurut perkongsian Reza Huzairi Zainudin menerusi Facebook yang juga bekas pesakit Covid-19 memaklumkan menderma plasma darahnya dalam membantu rawatan pesakit Covid-19 yang lain.

Tiada yang lebih menggembirakan buat dirinya apabila mengetahui plasma darahnya boleh membantu merawat pesakit lain yang dijangkiti pandemik yang mencetuskan keresahan masyarakat di seluruh dunia.

Plasma darah lelaki yang berusia 41 tahun ini didapati cukup sihat dan sesuai untuk membantu pesakit yang kritikal setelah memenuhi semua kriteria yang diperlukan untuk menderma.

Dia telah menjalani proses pendermaan plasma darah pada 2 April lalu di Pusat Darah Negara.

Menurut beliau, dengan berat badannya 65kg, hanya 500ml plasma darahnya boleh diambil pada satu-satu masa, namun ia boleh digunakan untuk membantu rawatan beberapa orang pesakit.

Justeru, beliau merancang untuk kembali menderma dalam tempoh 2 minggu akan datang selagi dibenarkan oleh doktor supaya lebih ramai pesakit mendapat manfaat.

Namun, mengikut pakar kesihatan, bukan semua bekas pesakit wabak ini boleh mendermakan plasma darah mereka kerana penderma harus berada dalam kesihatan yang optimum dengan tidak menghidapi sebarang penyakit kronik dan tidak mengambil ubat pada jangka masa panjang.

Reza berkongsi pengalamannya ketika menjalani kuarantin di wad isolasi Hospital Sungai Buloh selepas disahkan positif Covid-19. (Gambar Facebook)

Reza Huzairi berkata plasma darah yang didermakan itu akan dijadikan serum untuk dimasukkan ke dalam darah pesakit Covid-19 yang kritikal bagi membantu mereka melawan virus maut berkenaan.

Bagaimanapun, beliau dimaklumkan bahawa kesan optimum diperoleh apabila ia digunakan oleh orang yang mempunyai jenis darah sama dengannya.

Oleh sebab itu, beliau berharap lebih ramai bekas pesakit Covid-19 yang sihat tampil untuk menderma plasma darah mereka bagi membantu merawat pesakit yang sedang berjuang melawan virus itu.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan beberapa pesakit yang sudah pulih sudi membantu dengan menyumbang darah untuk kajian penyelidikan wabak terbabit.

Katanya, terdapat beberapa kes pesakit yang sudah sembuh dan dibenarkan pulang ingin menyumbang bagi tujuan itu, namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat saringan terlebih dahulu sama ada terdapat jangkitan kuman lain seperti Hepatitis C dan sebagainya.

Berkongsi mengenai jangkitan wabak itu, Reza Huzairi yang juga pesakit kes ke-46 berkata beliau dijangkiti virus Covid-19 ketika gelombang kedua.

Naib Presiden Kanan, Modal Insan Kumpulan UDA Holdings Berhad itu berkata, pengalaman ditempatkan di dalam wad isolasi Hospital Sungai Buloh (HSB) tidak akan dilupakan seumur hidupnya apabila dikunci 24 jam selama 11 hari tanpa boleh bertemu isteri dan tiga anak lelakinya.

“Tidak pernah saya membayangkan saya akan berada di dalam situasi itu. Perasaan tertekan itu bukan main-main …dalam resah memikirkan diri sendiri, saya juga resah memikirkan tentang isteri dan anak-anak di rumah.

“Juga kepada semua staf saya …bimbang jika virus yang ada pada saya ini menjangkiti mereka pula. Saya hanya bergantung kepada Allah SWT ketika itu,” katanya menerusi postingnya

Reza Huzairi berkata, selama tempoh 11 hari “terkurung” itu, beliau tetap meneruskan kerja pejabat seperti biasa walaupun berada di dalam wad agar perasaan tertekan itu tidak terus menyelubungi dirinya.

“Pesakit perlu bersemangat dan fokus untuk cepat pulih walaupun sesekali tubuh saya terasa amat letih kerana antibodi sedang bekerja. Jika itu terjadi, saya perlu berehat. Alhamdulillah kesihatan saya okay dan tidak mempunyai simptom yang teruk,” katanya.

Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada warga KKM khususnya doktor, jururawat dan petugas kesihatan di HSB, Reza Huzairi berpesan kepada rakyat Malaysia supaya bersabar dalam keadaan sekarang dan mengingatkan agar semua mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tidak perlu keluar dari rumah jika tiada keperluan yang amat penting. Kita sebagai rakyat Malaysia pasti boleh melakukannya,” katanya.

Sehingga kini postingnya mendapat 15,000 perkongsian dan mendapat pujian daripada netizen kerana kesudiannya membantu pesakit Covid-19 yang lain.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]