Caj tambahan kuarantin di hotel dibayar individu, kata menteri

PUTRAJAYA: Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob memaklumkan caj tambahan di hotel-hotel yang dijadikan pusat kuarantin akan ditanggung sendiri penghuninya.

Beliau berkata kerajaan hanya menanggung kos bilik dan makanan, terhad kepada RM150 sehari, di 45 hotel bertaraf 3 bintang ke atas yang diwartakan sebagai pusat kuarantin.

“Kos lain seperti dobi ditanggung sendiri,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri mengenai Covid-19 di Perdana Putra hari ini.

Ismail menepis dakwaan kerajaan bersikap pilih kasih dalam hal pembiayaan individu-individu yang dikuarantin di hotel. Menurut beliau, pilihan taraf hotel disediakan atas permintaan individu yang dikuarantin, mengikut senarai yang ditetapkan kerajaan.

“Nilai bilik yang melebih jumlah RM150 perlu ditanggung sendiri,” katanya, dan menambah ini termasuk diplomat asing di mana kosnya dibayar kedutaan masing-masing.

“Ramai dalam kalangan penumpang pesawat yang pulang dari luar negara ingin memilih bilik hotel dan sanggup membayar lebih. Jadi berapa harga yang ditetapkan terserah kepada pengusaha hotel.”

Ismail turut memaklumkan tatacara operasi standard di hotel dan pusat kuarantin lain sama.

“Mereka tidak boleh keluar masuk, tidak boleh terima pengunjung atau saudara-mara,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan I, Dr Noor Azmi Ghazali memaklumkan pemilihan hotel untuk kegunaan individu yang perlu dikuarantin dilakukan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Pihak kejuruteraan akan uruskan dari aspek pembersihan, penyahjangkitan dan pengurusan linen. Dari aspek keselamatan pula diuruskan oleh polis, pihak Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Makan dan minum pula diselaraskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Secara umum, pemilihan hotel, dewan, stadium dan lain-lain adalah bawah Majlis Keselamatan Negeri dan Nadma,” katanya.