Kreatif… Pakar bedah guna TikTok jelaskan kenapa tak perlu pakai sarung tangan ke pasar raya

Dr Karan menyifatkan banyak kuman yang ada pada sarung tangan berbanding tangan yang sentiasa dibasuh.

Selepas lebih 3 minggu rakyat Malaysia menjalani Perintah Kawalan Pergerakan, semua mulai sedar betapa pentingnya jarakkan sosial dan kebersihan yang selama ini diabaikan.

Dengan memakai topeng, berada jauh di antara satu sama lain serta sentiasa membersihkan tangan sama ada menggunakan sanitizer atau membasuhnya dilihat memadai untuk semua memastikan rantaian Covid-19 ini dapat diputuskan.

Namun seorang doktor di United Kingdom memberi penjelasan mengapa orang ramai tidak perlu memakai sarung tangan di pasar raya semata-mata untuk mengelak daripada kuman Covid-19.

Dr Karan Rangarajan, yang bekerja sebagai pakar bedah untuk National Health Service (NHS), menjelaskan mengapa memakai sarung tangan boleh membuatkan anda lebih berisiko berbanding amalan kerap membasuh tangan.

“Anda pakai sarung tangan, anda di pasar raya, anda sentuh banyak benda dan hasilnya… banyak kuman,” katanya dalam satu video TikTok menurut laporan Metro UK.

“Anda terus menyentuh lebih banyak benda pada hari yang sama dengan sarung tangan yang sama, kuman kini berada di mana-mana. Anda mengumpul kuman.

“Sarung tangan anda kini lebih penuh dengan kuman berbanding tangan anda jika ia dibasuh setiap kali.

“Ingat, dengan sarung tangan yang sama ini, anda akan menyentuh stereng, mungkin tak sengaja menyentuh muka sekali gus memindahkan kuman itu kepada diri sendiri.

“Dan kemudian apabila anda menukar atau membuka sarung tangan itu, anda sebenarnya mungkin akan tersentuh sarung tangan itu sendiri.

“Jadi hanya cuci tangan anda, jadilah lebih bijak, kekal selamat,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]