2 korban baru Covid-19 ketika kes jangkitan lepasi 4,000

PUTRAJAYA: 2 korban baru jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini, ketika angka jangkitan sehingga kini melepasi 4,000 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 156 kes jangkitan baru dilaporkan hari ini, berbanding 170 semalam, menjadikan jumlah mangsa 4,119 orang sehingga kini.

Dua kematian hari ini menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban akibat wabak berkenaan seramai 65 orang.

Dalam masa yang sama, jumlah pesakit di unit rawatan rapi (ICU) menunjukkan penurunan yang agak tinggi, dari 92 semalam kepada 76 hari ini, dalam tempoh 24 jam.

“Daripada jumlah itu 45 kes memerlukan bantuan pernafasan,” kata Hisham pada sidang media hari ini.

Perkembangan ini ketika 166 kes sembuh dilaporkan hari ini, menjadikan bilangan pesakit yang sembuh 1,487 orang sehingga kini.

Angka mangsa yang dibenarkan keluar wad juga lebih tinggi berbanding jangkitan baru.

Sehingga kini seramai 2,567 masih dirawat berbanding jumlah semalam, 2,579 orang.

Mengenai kematian hari ini, Hisham memaklumkan seorang mangsa merupakan warga Pakistan yang mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling.

Dalam pada itu, Hisham memaklumkan pihaknya mengesan 1 sub-kluster di daerah Rembau, Negeri Sembilan yang mempunyai kaitan dengan perhimpunan di Sri Petaling.

Sub-kluster itu melibatkan kakitangan sebuah sekolah dan kemudiannya beberapa penduduk setempat di kawasan Pedas, Pilin, Kundur dan Batu Hampar.

Sehingga kini, 27 orang dikenalpasti positif Covid-19 termasuk 2 kes yang sedang dirawat di ICU.

“Kluster ini mula dikesan apabila keputusan ujian Covid-19 positif bagi beberapa guru di sebuah sekolah.

“Penularan ini dipercayai berpunca daripada 1 mesyuarat yang diadakan di sekolah berkenaan yang dihadiri oleh kes ke-448, yang merupakan salah seorang peserta perhimpunan di Sri Petaling,” katanya.

Para guru dan kakitangan sekolah yang dijangkiti seterusnya menjangkiti ahli keluarga dan penduduk kampung sehingga 3 generasi jangkitan.

“Siasatan juga mendapati terdapat aktiviti kunjung- mengunjung ke rumah saudara untuk melawat ahli keluarga yang tidak sihat walaupun negara kini dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya.

Berikut keterangan mengenai mereka yang dilaporkan meninggal dunia hari ini: