AS catat hampir 2,000 korban Covid-19 dalam tempoh 24 jam

Seorang pesakit dibawa keluar dari bilik kecemasan Elmhurst Hospital Center di New York semalam. (Gambar AP)

WASHINGTON: Hampir 2,000 yang dijangkiti koronavirus baru meninggal dunia di Amerika Syarikat dalam tempoh 24 jam, berdasarkan kiraan Universiti Johns Hopkins setakat Selasa 8.30 malam.

Angka harian 1,939 yang tertinggi itu menjadikan jumlah kematian di AS kepada 12,722, mendekati bilangan di negara yang paling terkesan ketika ini – Itali dengan 17,127 korban dan Sepanyol dengan 13,798.

Presiden Donald Trump mempertahankan tindak balasnya terhadap krisis itu, dan pada Selasa beliau menyalahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana lambat bertindak.

Trump mempersoalkan kenapa WHO beri “saranan salah”, yang dilihat merujuk kepada nasihat badan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu terhadap sekatan perjalanan antarabangsa untuk menghentikan penularan virus yang mula merebak dari China.

“Mereka silap mengenai perkara itu. Mereka benar-benar melakukan kesilapan. Mereka patut membuat saranan itu berbulan-bulan lebih awal,” katanya.

Trump dikritik hebat kerana memandang remeh wabak itu pada peringkat awal, yang disamakan seperti selesema biasa dan terkawal di AS, sebelum menerima hakikat ia isu kecemasan negara.