Haiwan peliharaan bukan penyebar Covid-19, kata Jabatan Veterinar

Jabatan Perkhidmatan Veterinar menasihatkan pemilik mengamalkan kebersihan diri dan tidak mengabaikan keperluan kebajikan haiwan peliharaan.

KUALA LUMPUR: Haiwan peliharaan bukanlah penyebar virus Covid-19, justeru masyarakat tidak perlu gusar atau khuatir, dan pemilik tidak perlu membawa haiwan peliharaan mereka menjalani ujian pengesanan virus itu buat masa ini.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar berkata, berasaskan penemuan saintifik semasa, walaupun haiwan kesayangan boleh dijangkiti Covid-19, tetapi ia tidak berbahaya kerana virus itu hanya menyebabkan jangkitan ringan pada haiwan itu.

“Virus yang terdapat pada haiwan berada dalam jumlah yang rendah untuk disebarkan kepada manusia,” katanya dalam kenyataan semalam.

Jabatan itu berkata, walaupun penularan Covid-19 dalam kalangan manusia sangat tinggi, tetapi dalam kes haiwan, ia adalah terpencil.

“Sehingga kini, punca jangkitan pada haiwan adalah daripada manusia. Sehubungan itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar menasihatkan pemilik haiwan kesayangan yang mengesyaki dirinya dijangkiti Covid-19 supaya mengasingkan diri daripada haiwan kesayangan.

“Pemilik haiwan kesayangan perlu mengamalkan kebersihan diri dan tidak mengabaikan keperluan kebajikan haiwan.”

Kelmarin, terdapat laporan mengenai seekor harimau Malaya di Zoo Bronx, Amerika Syarikat disahkan positif Covid-19, dipercayai tersebar melalui penjaga zoo berkenaan.