Kesiannya… Terpaksa kibar bendera merah gara-gara kehabisan stok makanan

Penduduk di Soacha, Bogota meninjau jika ada bantuan makanan tiba selepas menggantung kain merah menuntut kerajaan Colombia untuk bekalan makanan. (Gambar AFP)

Di sesetengah kawasan kejiranan di Bogota, Colombia dan di pinggir ibu kota, ada keluarga yang kekurangan makanan terpaksa meletakkan kain merah di pintu dan tingkap rumah untuk meminta pertolongan.

Menurut laporan agensi berita Anadolu, kira-kira 50% penduduk di Colombia bekerja di sektor tidak formal, dengan simpanan yang sedikit untuk berdepan krisis seperti Covid-19.

Malah dengan kuarantin mandatori yang dikuatkuasa kerajaan menyebabkan jutaan penduduknya berdepan situasi teruk antara risiko jangkitan, kelaparan atau tiada tempat tinggal.

Di sebalik langkah pencegahan dikuatkuasakan antara lain, kawalan pergerakan, perniagaan ditutup dan sekatan perjalanan, namun ribuan penduduk Bogota mengabaikan perintah itu, terus bekerja seperti biasa dan berulang-alik di seluruh bandar.

Kepada mereka yang tidak menerima subsidi kerajaan atau apa-apa bantuan, itu satu-satunya cara mendapatkan beberapa peso untuk membeli makanan.

Menurut Datuk bandar Soacha, Juan Carlos Saldarriaga, tindakan mengibarkan kain merah “mencetuskan perpaduan dalam kalangan penduduk”.

Saldarriaga berkata, mengibarkan kain merah membantu kerajaan tempatan mengetahui siapa yang “memerlukan bantuan segera.”

Walaupun ramai penduduk di Soacha sudah menerima pakej makanan yang diagihkan kerajaan dan Palang Merah, namun masih ramai lagi yang memerlukan bantuan.

Colombia mencatatkan 1,485 kes Covid-19 dengan 35 kematian.

Pengasingan mandatori dikuatkuasa April 13, seperti diumumkan Presiden Ivan Duque.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]