Ketahui bagaimana cara saintis hasilkan vaksin

Proses penghasilan vaksin boleh mengambil masa sehingga 2 tahun, daripada proses awal hinggalah selesai.

Vaksin dianggap sebagai salah satu pencapaian terhebat manusia dalam sesebuah perubatan.

Ia dihasilkan untuk melindungi daripada jangkitan mikroba virus atau bakteria.

Dengan penghasilan vaksin, beratus juta penyakit dan kematian berjaya dicegah terutamanya dalam pembasmian cacar dan mengurangkan jangkitan polio serta campak dengan ketara.

Bagaimanapun proses penghasilan vaksin boleh memakan masa sehingga 2 tahun, daripada proses awal hinggalah selesai.

Terdapat pelbagai jenis vaksin ketika ini dan masing-masing memerlukan proses yang berbeza untuk dihasilkan.

1. Melemahkan virus

Kaedah ini digunakan untuk melemahkan virus-virus, sekaligus membuatkan proses pembiakannya di dalam badan menjadi sangat rendah.

Biasanya badan kita akan terkena jangkitan penyakit apabila virus-virus membiak berkali-kali ganda di dalam badan.

Dari segi perbandingan, virus semula jadi membiak beribu-ribu kali ganda ketika jangkitan berlaku manakala virus vaksin yang dilemahkan ini biasanya membiak kurang daripada 20 kali sahaja.

Dan oleh kerana virus-virus vaksin tidak membiak dengan begitu banyak, ianya tidak akan menyebabkan penyakit.

Malah, virus-virus vaksin membiak dengan begitu baik sehinggakan menghasilkan “sel-sel memori B”, yang melindungi tubuh badan daripada jangkitan pada masa akan datang.

Kelebihan virus hidup yang dilemahkan ini satu atau 2 dos sahaja sudah dapat memberikan imuniti sepanjang hayat.

Namun, ia mempunyai kekurangan di mana ia biasanya tidak dapat diberikan kepada mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah seperti pesakit kanser atau AIDS.

Vaksin campak, beguk, campak Jerman (rubela), rotavirus, polio mulut, cacar air (varicella) dan vaksin influenza (versi intranasal) dibuat dengan cara ini.

2. Menyahaktifkan virus

Vaksin virus nyahaktif dihasilkan dengan menyahaktifkan atau membunuh virus sepenuhnya menggunakan bahan kimia.

Dengan membunuh virus, ia mustahil untuk membiak atau menyebabkan penyakit.

Antara vaksin yang dihasilkan menggunakan teknik ini vaksin polio, hepatitis A, influenza dan rabies (anjing gila).

Disebabkan virus masih dapat “dilihat” oleh badan, sel-sel sistem imun yang melindungi badan daripada penyakit akan terhasil.

Vaksin bakteria boleh diberikan kepada pesakit dengan sistem imun yang lemah, tetapi ia biasanya memerlukan beberapa dos untuk menghasilkan imuniti yang mencukupi.

Terdapat 2 kelebihan menggunakan teknik iaitu:

  1. Vaksin ini tidak akan menyebabkan pesakit mengalami penyakit yang dicegahnya walaupun secara ringan
  2. Vaksin ini dapat diberikan kepada pesakit yang mempunyai sistem imun yang lemah

Bagaimanapun, kekurangan kaedah penghasilan vaksin ini ia biasanya memerlukan beberapa dos untuk mencapai tahap imuniti.

3. Menggunakan sebahagian daripada virus

Menggunakan kaedah ini, hanya sebahagian daripada virus akan dihapuskan dan digunakan sebagai vaksin.

Vaksin ini terdiri daripada protein yang berada di permukaan virus.

Strategi ini boleh digunakan apabila tindak balas imun terhadap satu bahagian daripada virus itu bertanggungjawab ke atas perlindungan terhadap penyakit.

Vaksin ini boleh diberikan kepada mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah dan imuniti untuk tempoh yang lama dicapai selepas dua dos.

Vaksin hepatitis B, kayap dan human papillomavirus (HPV) dihasilkan menggunakan kaedah ini.

4. Menggunakan sebahagian daripada bakteria

Sesetengah bakteria menyebabkan penyakit dengan menghasilkan protein berbahaya yang dikenali sebagai toksin.

Beberapa jenis vaksin dihasilkan dengan mengambil toksin dan menyahaktifkannya menggunakan bahan kimia.

Toksin yang dinyahaktifkan dikenali sebagai toksoid.

Dengan menyahaktifkan toksin, ia tidak lagi dapat menyebabkan penyakit.

Vaksin yang dihasilkan menggunakan kaedah ini termasuklah difteria, tetanus dan pertussis.

Satu lagi strategi untuk menghasilkan vaksin bakteria dengan menggunakan sebahagian daripada salutan gula atau polisakarida dari bakteria itu.

Perlindungan terhadap jangkitan daripada sesetengah bakteria berdasarkan imuniti terhadap salutan gula ini dan bukannya keseluruhan bakteria tersebut.

Bagaimanapun, disebabkan kanak-kanak tidak menghasilkan tindak balas imun yang begitu baik terhadap salutan gula ini sahaja, salutan ini akan terhubung dengan protein yang tidak berbahaya dan dikenali sebagai vaksin “konjugasi polisakarida”.

Antara vaksin yang dihasilkan dengan cara ini ialah Haemophilus influenzae jenis B atau Hib, pneumococcal dan sesetengah vaksin meningococcal.

Sama seperti vaksin virus nyahaktif, vaksin bakteria boleh diberikan kepada pesakit dengan sistem imun yang lemah, tetapi ia biasanya memerlukan beberapa dos untuk menghasilkan imuniti yang mencukupi.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]