Peniaga terpaksa tutup gerai makan berlapar semasa PKP

Seorang penduduk PPR Seri Anggerik di Jalan Klang Lama, KL menjengah dari tingkap unitnya.

PETALING JAYA: Ketika perintah kawalan pergerakan semakin ketat, pengusaha gerai makan yang biasanya memasak untuk jiran-jiran mereka kini mendapati mereka bergelut untuk mengisi perut keluarga masing-masing.

Seperti banyak rumah pangsa lain di serata negara, PPR Seri Anggerik di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur mempunyai banyak gerai makan.

Perniagaan yang popular ini menjual pelbagai jenis makanan untuk dinikmati warga setempat, seperti makanan ringan dan teh tarik. Hasilnya pula kebiasaan cukup untuk meneruskan hidup.

Tetapi sekarang masa yang luar biasa.

PPR Seri Anggerik di Jalan Klang Lama, KL sepi semasa kawalan.

Kini tempat-tempat makan ini – seperti ribuan lori makanan, pasar pagi, dan penjaja tepi jalan di serata Malaysia – terpaksa tutup kerana PKP.

Pemilik gerai di PPR Seri Anggerik beritahu FMT mereka bergelut untuk menyelamatkan perniagaan mereka.

Seorang penduduk PPR Seri Anggerik menjengah dari koridor di luar unitnya.
Haidah Khairudin

“Kami tiada sumber pendapatan lain; keluarga kami bergantung pada gerai ini,” kata Haidah Khairudin, 49, yang tinggal di rumah pangsa itu bersama suami dan 6 anak. Beliau mengusahakan gerainya sejak 15 tahun lalu.

“Saya menggunakan simpanan saya untuk membeli makanan. Hari ini makan nasi dan telur, esok mungkin nasi dan sayur. Sebenarnya, saya tidak ada terima sebarang bantuan pun. Kami nak minta bantuan siapa?” katanya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mendedahkan pakej rangsangan ekonomi RM250 bilion bulan lepas, mengatakan 4 juta isi rumah berpendapatan RM4,000 dan ke bawah akan diberi wang tunai RM1,600 menerusi Bantuan Prihatin Nasional, dengan RM1,000 dibayar pada April dan RM600 pada Mei.

Haidah percaya permohonannya untuk mendapatkan wang tunai BPN itu akan membantunya sehingga PKP ditarik balik.

Aisah Salleh

Kawannya, Aisah Salleh, 54, yang mengusahakan gerai di PPR Seri Anggerik sejak 18 tahun lalu berkata dia sukar membayar sewa bulanan sebanyak RM30.

“Jumlahnya tak besar tapi saya sekarang ini tak mampu,” katanya. “Kami menyewa dari DBKL dan saya dengar mereka mungkin tangguh bayaran sewa, tapi saya belum terima apa-apa yang rasmi dari mereka.

“Saya tak tahu apa nak buat kalau PKP dilanjutkan. Tawakal pada Tuhan.”

Noraini Mat Hassan

Noraini Mat Hassan, yang mengusahakan gerai di rumah pangsa itu selama 16 tahun, terpaksa menahan lapar untuk memastikan 5 anaknya cukup makan.

Upah suaminya, seorang pemotong rumput, tidak cukup untuk perbelanjaan.

“Saya guna semua duit kami untuk makanan anak-anak; mereka keutamaan saya,” katanya. “Saya bersyukur akan dapat RM1,600 dari BPN nanti.”

Bukan peniaga gerai makan sahaja yang tertekan. Kesan PKP ke atas kewangan turut dirasai serata kawasan kejiranan.

Mohd Hanafi Che Wan

Mohd Hanafi Che Wan, 53, pemilik kedai runcit di PPR Seri Anggerik, berharap kerajaan akan membantu pemilik perniagaan sepertinya dengan menyediakan barangan yang boleh dijual secara konsainan.

“Kebanyakan orang yang tinggal di sini tergolong dalam braket pendapatan B40 dan kebanyakannya bergaji harian yang terkesan dengan PKP,” katanya yang berniaga di situ selama 10 tahun.

Banyak pemberhentikan pekerja dan pengurangan gaji di serata sektor walaupun ia meyalahi undang-uyndang, dan Hanafi berkata dia sudah nampak kesannya pada hasilnya.

“Jualan saya jatuh kerana orang kurang berbelanja dan mengurangkan perbelanjaan harian kerana mereka tidak bekerja.”

Manirajah Mariyappan

Seorang penduduk PPR Seri Anggerik, Manirajah Mariyappan, 42, masih ada pekerjaan dan pendapatan, tetapi iparnya, yang bekerja di kedai tayar yang ditutup sejak PKP berkuatkuasa, diberitahu oleh majikan yang dia tidak akan dibayar bulan depan.

“Kerana perdana menteri kita bantu, ipar saya boleh makan sikit. Kalau perdana menteri tak bantu, siapa lagi?”

Sentimen itu dikongsi semua jirannya yang terpaksa mengikat perut.