PH gesa kerajaan beri kelonggaran di zon hijau untuk pulih ekonomi

MKN dan KDN akan mengeluarkan SOP baru selepas tamat PKP bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) mencadangkan kerajaan memberi kelonggaran kepada penduduk di kawasan zon hijau yang bebas daripada penularan wabak Covid-19.

Menerusi kenyataan Majlis Setiausaha PH, cadangan itu dibuat bagi membolehkan aktiviti ekonomi di kawasan itu kembali beroperasi seperti biasa selepas 14 April, sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.

“Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai cukup data dan statistik, serta pemetaan taburan kes positif Covid-19 mengikut mukim, daerah, serta lokaliti. Ada daerah atau lokaliti yang memang tidak terkesan dengan jangkitan Covid-19 sejak dari awal epidemik ini bermula, yang ditakrif zon hijau.

“Majlis Setiausaha Pakatan Harapan berpandangan sekiranya PKP diteruskan selepas 14 April, beban ekonomi khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan kumpulan B40 terutama yang berada dalam zon hijau dapat dibantu,” katanya.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Hatta Ramili dari Amanah, Fahmi Fadzil mewakili PKR dan Loke Siew Fook dari DAP.

Mereka memberi beberapa cadangan yang boleh dilakukan jika kelonggaran itu diberikan, antaranya mengisytiharkan zon hijau Covid-19 mengikut kedudukan terkini jangkitan, daerah atau mukim.

“Penduduk di zon hijau ini dibenarkan menjalankan aktiviti ekonomi seperti membuka gerai makanan, pasar tani, bengkel kereta dan sebagainya, tertakluk kepada syarat-syarat dan garis panduan KKM.

“Kawalan rapi perjalanan keluar masuk ke kawasan hijau dikekalkan oleh pasukan keselamatan dan syarat-syarat dan garis panduan KKM berkait urusan penjarakkan sosial, kebersihan diri, pemakaian penutup muka serta larangan majlis keramaian atau perhimpunan orang ramai dikekalkan,” katanya.

Ia berpandangan langkah itu akan memberi galakan kepada rakyat terutama di zon hijau untuk terus mematuhi PKP, mengurangkan jangkitan, serta mula memulihkan ekonomi setempat.

Semalam, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengeluarkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) baru Khamis ini bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Katanya, SOP itu akan digunakan selepas tarikh PKP fasa ke-2 tamat pada 14 April ini.

Peraturan baru itu, katanya, berkemungkinan akan dipecahkan mengikut zon positif Covid-19 bagi memberi kelonggaran kepada rakyat untuk bergerak bagi memastikan wabak itu tidak menular.