Polis terima peringatan tak guna aplikasi diancam serangan siber

NC4 mengesan serangan siber oleh penggodam ke atas kerajaan dan rakyat Malaysia.

KUALA LUMPUR: Polis hari ini berkata pihaknya menerima surat peringatan daripada Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) yang mengingatkan agensi kerajaan berhati-hati dengan serangan siber dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Acryl Sani Abdullah Sani berkata, surat itu turut mengingatkan seluruh agensi kerajaan berhati-hati ketika menggunakan aplikasi Zoom.

“Untuk makluman, aplikasi Zoom ini merupakan aplikasi peribadi yang boleh dimuat turun secara percuma. Setakat ini, kita tidak membuat tele sidang menggunakan aplikasi Zoom ini.

“Saya difahamkan, aplikasi ini popular untuk kelas-kelas dalam talian,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai surat Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara, Mohd Rabin Basir yang memaklumkan mengenai ancaman serangan siber ke atas agensi kerajaan semasa tempoh PKP.

Surat dikeluarkan pada 4 April itu menyatakan National Cyber Coordination and Command Centre (NC4) mengesan serangan siber oleh penggodam ke atas kerajaan dan rakyat Malaysia. Juga, terdapat insiden penipuan atas talian, e-mail spam dan aplikasi mudah alih palsu.

Acryl turut mengingatkan rakyat berhati-hati ketika melaksanakan transasi secara atas talian dan menggesa rakyat tidak terperangkap dengan panggilan telefon yang meragukan.

“Tidak ada agensi kerajaan, mahkamah atau bank-bank berurusan melalui telefon. Telefon hanya digunakan untuk temujanji dan sebarang urusan dilakukan di pejabat. Bahkan, tidak ada urusan rasmi dari agensi kerajaan yang meminta nombor akaun, kad pengenalan, dan kata laluan peribadi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Acryl Sani berkata tahap kawalan dan pemantauan di sempadan negara khususnya perairan negara akan diperketatkan lagi untuk mengelak pencerobohan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Katanya, langkah itu bertujuan untuk mengesan dan menahan warga tempatan yang menjadi dalang dan memainkan peranan membawa masuk pendatang asing ke dalam negara melalui jalan tikus.

“Polis akan mempertingkatkan kawalan di semua sempadan negara terutama utara Semenanjung bersempadan negara jiran Thailand, pesisir Pantai Barat, Timur dan Johor selain Kalimantan dengan Sabah dan Sarawak,” katanya.