Puteri Aishah positif Covid-19, Ben Amir negatif!

Puteri Aishah dan Ben Amir antara contoh artis yang bertanggungjawab melakukan kuarantin sendiri sekiranya pulang dari luar negara atas sebarang alasan sekali pun, tidak kira kerja ataupun bercuti.

Baru-baru ini, beberapa artis tempatan dilaporkan sah positif jangkitan Covid-19.

Namun ada juga di antara mereka yang pergi membuat ujian saringan dan disahkan negatif jangkitan tersebut.

Terbaru Puteri Aishah disahkan positif Covid-19 setelah menjalani ujian saringan di sebuah hospital swasta di Cheras.

Berita ini dimaklumkan oleh pengurusnya, Iman Tang melalui hantaran di akaun Instagram miliknya.

Menurut Iman Tang, Puteri Aishah disahkan positif jangkitan ini setelah pulang daripada penggambaran yang telah dijalankan di Inverness, Scotland.

Buat masa ini, Iman Tang menyatakan selebriti wanita itu masih berada di rumah sementara menanti tindakan seterusnya daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Puteri Aishah merupakan antara 18 orang tenaga kerja produksi drama “Demi” yang baru pulang daripada Inverness, Scotland pada Mac lepas.

Difahamkan salah seorang kru penggambaran tersebut juga disahkan positif dijangkiti virus Covid-19.

Sementara itu, Ben Amir yang juga salah seorang artis yang turut serta dalam penggambaran drama tersebut disahkan negatif Covid-19 setelah menjalani kuarantin di rumah dan ujian pemeriksaan di sebuah hospital swasta di Damansara.

Difahamkan, Ben Amir pulang lebih awal ke tanah air pada 27 Mac yang lalu manakala kru penggambaran serta pelakon yang lain pula pulang pada 31 Mac 2020.

Selain Puteri Aishah, Pencetus Ummah (PU) Riz atau nama sebenarnya Muhammad Hariz Mohd Ismail turut disahkan positif jangkitan Covid-19.

Sebelum disahkan jangkitan tersebut, dia mengalami demam panas selama 3 hari.

Demam panas antara simptom sekiranya seseorang itu dijangkiti virus Covid-19.

Dia menjalani ujian saringan di Pusat Perubatan Universiti Malaya dan kemudiannya dihubungi pihak hospital untuk memaklumkan status positif jangkitan Covid-19.

PU Riz turut mendedahkan dia sememangnya kerap berkunjung ke Masjid Sri Petaling sebelum masjid tersebut ditutup memandangkan kedudukan masjid tersebut yang berada berhadapan dengan rumahnya.

Ummi Nazeera, Uqasha Senrose jalani ujian COVID-19 secara drive thru

Selepas pulang dari bercuti di luar negara, pelakon Ummi Nazeera kuarantinkan dirinya selama 14 hari dan mengambil inisiatif menjalani ujian saringan Covid-19 di hospital swasta.

Pelakon Bisik Pada Langit ini memilih untuk melakukan ujian saringan secara “drive thru” dan berkongsi pengalamannya menjalani ujian yang dijalankan dalam tempoh tidak kurang 10 minit sahaja.

Hasil keputusan, selebriti ini disahkan negatif jangkitan tersebut melalui satu entri di akaun Instagram miliknya.

Selain Ummi Nazeera, pelakon Uqasha Senrose turut menjalani ujian tersebut secara drive thru di sebuah hospital di Kota Damansara.

Ini berikutan kerisauannya setelah mengalami demam yang berlanjutan dan mempunyai suhu badan yang tinggi.

Walaupun sebelum ini doktor menyatakan dia hanya mengalami demam biasa, namun pemilik nama Nik Zaris Uqasha Nik Sen ini tetap melakukan ujian tersebut kerana bimbangkan kesihatan ahli keluarga lain yang tinggal bersamanya.

Uqasha kini masih menunggu keputusan ujian tersebut yang dijangkakan mengambil masa antara 2 ke 3 hari.

Artis-artis seperti yang dinyatakan di atas antara contoh kepada masyarakat untuk melakukan kuarantin sendiri sekiranya pulang dari luar negara atas sebarang alasan sekali pun, tidak kira kerja ataupun bercuti.

Selain itu, jika mempunyai simptom seperti demam, kita juga digalakkan pergi membuat ujian saringan untuk memastikan sebarang kemungkinan jangkitan pada peringkat awal.

Yang penting kita perlu bertanggungjawab dan jujur dengan sebarang sejarah perjalanan atau kunjungan ke mana-mana lokasi berisiko tinggi dengan jangkitan Covid-19.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]