Rezeki mekanik buta merosot RM100 kepada RM20 ketika PKP

Azhar Ibrahim berkata, perniagaan bengkel motosikalnya terjejas kerana tidak ramai pelanggan sepanjang PKP.

PETALING JAYA: Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan Covid-19 sejak 18 Mac lalu bukan saja menjejaskan pelbagai sektor, tetapi juga peniaga kelainan upaya.

Azhar Ibrahim, 37, yang mengusahakan bengkel motosikal di Batu Gajah, Perak sejak 8 tahun lalu runsing memikirkan sumber rezekinya terjejas akibat PKP kerana bengkel itu ialah satu-satunya punca pendapatan beliau.

“Perniagaan ini kira terkesan, yalah kalau setakat tukar minyak hitam baru RM15, saya dapat RM1 sebagai untung. Itupun kalau 3 buah motosikal yang tukar sehari, baru dapat RM3. Kalau sebelum ini sehari pendapatan mencecah RM100 sehari, sekarang ini dapatlah RM15 hingga RM20 keuntungan.

“Kalau kita dapat buat yang berat-berat, dapatlah lebih sikit. Kalau setakat tukar tiub motosikal dalam tempoh PKP ini, bukan selalu orang yang hadapi masalah tayar pancit sebab orang pun tidak keluar rumah,” katanya kepada FMT.

Azhar berkata, walaupun sumber pendapatannya terjejas, beliau terpaksa akur kepada PKP kerana aspek kesihatan harus menjadi keutamaan berbanding perkara lain.

“Macam saya ini, kalaulah bil elektrik saya pada bulan ini tertunggak dan terpaksa bayar pada bulan depan akibat kesukaran mendapatkan sumber pendapatan, macam mana saya hendak bayar sekaligus? Memang apa yang berlaku sekarang ini beri kesan berbulan-bulan, namun terpaksa akurlah.

“Kalau kita kena duduk di hospital sama juga, masih tidak boleh keluar ke mana-mana. Jadi, lebih baik duduk di rumah, apa-apa pun minta dijauhkanlah daripada wabak ini.

“Saya hendak buka kedai pun takut, kalau kena tangkap polis, mana ada duit hendak bayar? Buat masa ini kerja pun tidak ada.”

Katanya, sepanjang penguatkuasaan PKP, beliau hanya akan keluar rumah jika terdapat keperluan mendesak dengan meminta bantuan rakan membawanya ke lokasi tertentu, seperti mengeluarkan wang di bank.

“Kalau keluar pun, kerajaan kata hanya seorang sahaja yang boleh keluar, tetapi macam saya ni, mana nampak? Saya terpaksa keluar jugalah berdua, kalau terserempak dengan polis, saya haraplah polis akan memahami keadaan saya.”

Azhar mengucapkan terima kasih kepada ketua kampung yang bermurah hati memberi bantuan makanan seperti beras, tepung, minyak dan makanan dalam tin kepadanya sepanjang PKP ini.

Ditanya jika Putrajaya melanjutkan tempoh PKP selepas 14 April ini, beliau berkata: “Minta dijauhkan, janganlah sampai berbulan-bulan.”