Brazil lapor lebih 15 ribu kes Covid-19, 800 kematian

Kebimbangan utama di Brazil ialah penularan wabak Covid-19 di negeri Manaus di Amazonas, yang sebahagian besar penduduknya terdiri masyarakat pribumi dan berpendapatan rendah. (Gambar AP)

BRASILIA: Brazil pada Rabu melaporkan sejumlah 15,927 kes Covid-19 dengan 800 kematian, kata Kementerian Kesihatan lapor agensi berita Xinhua.

Jangkitan tertumpu di Sao Paulo yang mencatatkan 6,708 kes, Rio de Janeiro 1,938 kes, diikuti Ceara, Amazonas, Minas Gerais, Rio Grande do Sul, Parana dan Daerah Persekutuan.

Menteri Kesihatan Luiz Henrique Mandetta berkata, pasukan petugas terdiri beberapa syarikat Brazil ditubuhkan bertujuan mempercepat pengeluaran alat bantuan pernafasan dan sebanyak 6,500 alat dijangka dikeluarkan dalam tempoh 90 hari.

Mandetta berkata, kebimbangan utama sekarang ialah penularan wabak di negeri Manaus di Amazonas, yang sebahagian besar penduduknya terdiri masyarakat pribumi dan berpendapatan rendah.

Kerajaan mengenakan langkah penjarakan sosial bagi mengurangkan rantaian jangkitan dan memperkukuh rangkaian perkhidmatan kesihatan awam untuk bersiap sedia berdepan situasi lebih mencabar.