Hampir separuh individu bekerja sendiri hilang pekerjaan susulan PKP, kata Jabatan Perangkaan

Jabatan Perangkaan berkata, sektor pertanian dan perkhidmatan mencatat peratusan kehilangan pekerjaan lebih tinggi berbanding sektor lain susulan Covid-19, masing-masing sebanyak 21.9% dan 15.0%.

PUTRAJAYA: Hampir separuh atau 46.6% responden yang bekerja sendiri menyatakan kehilangan pekerjaan dan dianggarkan 9 daripada 10 responden yang masih bekerja mengalami pengurangan pendapatan daripada biasa, kata ketua perangkawan Mohd Uzir Mahidin.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata, dapatan itu adalah hasil kaji selidik khas kesan Covid-19 terhadap ekonomi dan individu (Pusingan 1) yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan.

Kaji selidik itu disertai seramai 168,182 responden yang berumur 15 tahun ke atas secara dalam talian bermula 23 hingga 31 Mac yang lepas.

Ketua perangkawan Mohd Uzir Mahidin.

Katanya, dapatan kaji selidik itu juga mendapati sektor pertanian dan perkhidmatan mencatat peratusan kehilangan pekerjaan yang lebih tinggi berbanding sektor lain bagi kesan daripada Covid-19, masing-masing sebanyak 21.9% dan 15.0%.

“Bagi sektor pertanian, 33.0% pekerja di sub sektor perikanan melaporkan kehilangan pekerjaan, manakala sektor pertanian dan perladangan sebanyak 21.1%.

“Bagi sektor perkhidmatan, pekerja di sub sektor perkhidmatan makanan dan minuman yang kehilangan pekerjaan merangkumi 35.4% diikuti sub sektor pengangkutan dan penyimpanan dengan 18.7%,” katanya.

Beliau berkata, hasil kaji selidik itu juga mendapati dari segi simpanan kewangan, lebih daripada 2/3 atau 71.4% responden yang bekerja sendiri mempunyai simpanan yang hanya mencukupi bagi tempoh kurang daripada 1 bulan.

“Hanya 6.2% responden menyatakan kurang terkesan berbanding 52.6% responden yang menyatakan sangat terkesan dari segi kewangan,” katanya.

Katanya, tempoh bekerja turut mempengaruhi simpanan kewangan di mana sebanyak 69.7% yang bekerja dalam tempoh kurang daripada 1 tahun menyatakan simpanan kewangannya bertahan kurang daripada 1 bulan.

Manakala sebanyak 11.4% yang bekerja 21 hingga 30 tahun dan 11.7% yang bekerja lebih daripada 30 tahun mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi sehingga 4 bulan, katanya.

Katanya majoriti responden menyatakan tidak bersedia sekiranya tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan kecuali pekerja di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional (MNC).

Beliau berkata, dapatan daripada kaji selidik itu diharap dapat membantu kerajaan dan penduduk Malaysia dalam menangani kesan Covid-19 terhadap ekonomi dan pekerjaan.

Mohd Uzir berkata, analisis yang dikongsikan ini adalah berdasarkan kepada responden yang menyertai kaji selidik khas ini dan tidak mewakili pandangan seluruh rakyat Malaysia.

“Ia harus ditafsir secara berhati-hati bagi menilai kesan Covid-19 di Malaysia dan ia bukan statistik rasmi,” katanya.

Namun, katanya ia boleh digunakan untuk menyokong dalam memberi gambaran tentang situasi semasa.

“Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dijangka dapat membantu golongan yang terjejas in,i sekali gus memacu ekonomi dan menjana pendapatan boleh guna rakyat serta dapat meningkatkan penggunaan domestik,” katanya.